Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat lulus RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026
Diterbitkan:  Jul 16, 2026 5:09 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang akan memperkukuh asas perundangan dana itu dengan memastikan aliran masuk lebih konsisten, pengeluaran lebih berdisiplin serta tadbir urus dan akauntabiliti yang lebih jelas.

RUU yang berpaksikan hasrat jelas untuk mewujudkan rizab kewangan jangka panjang bagi generasi Malaysia akan datang itu dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, dan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 14 anggota parlimen.

Liew berkata setelah hampir empat dekad, aset kumpulan KWAN berjumlah RM22.43 bilion pada akhir 2024, dengan Petronas kekal sebagai satu-satunya penyumbang secara sukarela, berjumlah RM13.5 bilion.

“Dalam tempoh yang sama, pengalaman mentadbir Kumpulan Wang, termasuk episod pengeluaran RM5 bilion pada 2021 yang mendapat perhatian umum, menunjukkan kerangka sedia ada perlu ditambah baik, sumbangan bergantung sepenuhnya kepada budi bicara, tiada had pengeluaran, dan maksud penggunaan yang umum.

“RUU ini digubal bagi memperkukuh kerangka tersebut melalui sumbangan berkanun, disiplin pengeluaran dan tadbir urus yang moden,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU KWAN 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata kadar caruman yang dimaktubkan pada 0.1 peratus adalah kadar minimum dan obligasi sumbangan kepada simpanan antara generasi perlu kekal teguh merentas kitaran fiskal dan kerajaan yang silih berganti.

Oleh itu, kadar tersebut hanya boleh diubah oleh Parlimen sendiri melalui Akta pindaan, dan mana-mana kerajaan yang ingin mengubahnya mesti kembali ke Dewan Rakyat, katanya.

Liew berkata sumbangan KWAN tidak lagi bergantung kepada budi bicara satu pihak dengan tiga aliran berkanun diwajibkan buat pertama kalinya.

Dia berkata Fasal 5 mengekalkan ruang sumbangan sukarela yang luas, termasuk daripada kerajaan negeri, geran, derma, endowmen dan wasiat, serta mana-mana pihak yang menjalankan penyelidikan atau pembangunan sumber menyusut.

"Dari segi hala tuju: Kumpulan Wang akan terus dikembangkan sebagai simpanan antara generasi, dan dengan aliran berkanun yang konsisten ditambah pulangan yang dikompaun, aset bersihnya dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh sekitar 10 tahun dan dua kali ganda setiap sepuluh tahun," katanya.

Dia berkata RUU ini tidak mengganggu kebebasan Lembaga Petronas untuk menentukan jumlah dividen yang dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, dan itu kekal sepenuhnya budi bicara Petronas.

"Apa yang diwajibkan oleh Fasal 4(1)(b) ialah, daripada dividen yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan, berapa jua jumlahnya, sekurang-kurangnya 2.0 peratus hendaklah disalurkan ke dalam Kumpulan Wang. Sumbangan itu diambil daripada bahagian Kerajaan Persekutuan sendiri, bukan dikenakan ke atas Petronas," katanya.

Dari segi penentuan kadar pulangan benar jangka masa panjang pula, Liew berkata takrif akta adalah kawalan pertama: kadar pulangan tahunan, dilaraskan untuk inflasi, yang dijangka diperoleh daripada pelaburan Kumpulan Wang dalam tempoh 20 tahun.

Asas 20 tahun yang dilaraskan inflasi itu, dengan sifatnya, adalah jangkaan yang konservatif dan stabil; bukan angka yang boleh dipilih mengikut keadaan tahun semasa bagi membesarkan had pengeluaran, katanya.

“Dari segi penentuannya, kadar ini berakar pada Perumpukan Aset Strategik, yang diwajibkan menyatakan jangkaan pulangan bagi pelaburan Kumpulan Wang: kadar ditentukan oleh Lembaga dengan persetujuan Menteri, selaras dengan jangkaan pulangan dalam Perumpukan Aset Strategik yang diluluskan itu,” katanya.

Dia berkata satu pihak tidak boleh menetapkannya bersendirian, dan tatacaranya boleh diperincikan melalui peraturan di bawah Akta.

“Kadar itu juga boleh diuji oleh Dewan ini setiap tahun terhadap rekod pulangan sebenar Kumpulan Wang, iaitu purata 6.0 peratus setahun sejak penubuhan,” katanya.

Dia berkata kerajaan tidak berhasrat membuat pengeluaran bagi keperluan yang telah pun diperuntukkan melalui belanjawan tahunan, sama ada perbelanjaan mengurus mahupun pembangunan.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata Kumpulan Wang adalah bagi keperluan luar jangka dalam tiga maksud yang termaktub dan akta menetapkan maksud pada tahap prinsip, dan peraturan khusus akan dikeluarkan di bawah Fasal 33(2)(a) bagi mengawal tatacara pengeluaran dan penggunaan secara terperinci.

Pengeluaran daripada KWAN hanya boleh dibuat bagi keperluan luar jangka melibatkan tiga tujuan yang diperuntukkan dalam Akta, iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim, tambahnya.

Dia berkata menteri dilarang meluluskan permohonan di luar tiga tujuan berkenaan, manakala setiap pengeluaran wajib didedahkan dan setiap penerima wajib melaporkan penggunaan dana serta hasilnya sehingga wang itu habis digunakan.

Dia berkata RUU itu juga memperkukuh akauntabiliti Parlimen dengan mewajibkan akaun beraudit dan laporan tahunan KWAN dibentangkan di kedua-dua Majlis Parlimen setiap tahun, selain tidak menghalang mana-mana jawatankuasa Parlimen meneliti hal ehwal Kumpulan Wang mengikut bidang kuasa masing-masing.

Liew berkata Bank Negara Malaysia meneruskan pentadbiran dalam tempoh peralihan akta; dan oleh sebab Kumpulan Wang tidak mempunyai kakitangan sendiri, tiada isu pemindahan pekerja timbul.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS