Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan kekal perintah kerajaan haramkan filem Mentega Terbang

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan perintah kerajaan yang mengharamkan tayangan, pengedaran dan publisiti filem Mentega Terbang.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ismail Brahim, Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh sebulat suara menolak rayuan pengarah Mohd Khairianwar Jailani serta penerbit Tan Meng Kheng sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka.

Ong, yang menyampaikan keputusan itu, berkata Menteri Dalam Negeri telah menggunakan kuasa statutori beliau secara sah di bawah Seksyen 26 Akta Penapisan Filem (APF) 2002 ketika mengeluarkan perintah tersebut.

“Perintah itu tidak dicemari oleh unsur tidak sah atau tidak rasional dari segi perundangan,” katanya sambil menambah terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong keputusan tersebut termasuk laporan Lembaga Penapisan Filem, penilaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pandangan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, pelbagai laporan polis yang dibuat serta pendapat Menteri Dalam Negeri selepas beliau menonton sendiri filem berkenaan.

Hakim itu turut memutuskan bahawa Seksyen 26 APF, yang memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengharamkan sesebuah filem atas alasan “kepentingan awam” adalah selaras dengan Perlembagaan.

Beliau juga berkata Mohd Khairianwar dan Tan tidak berhak diberikan peluang untuk didengar sebelum perintah itu dikeluarkan.

Pada 21 Ogos 2023, Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah yang mengharamkan tayangan, pameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem itu mengikut Seksyen 26 APF.

Mohd Khairianwar dan Tan kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada Disember 2023 dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden bagi mencabar perintah itu.

Keputusan kerajaan mengharamkan filem itu didakwa sebagai tidak rasional dan melanggar hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan serta menjejaskan pendapatan mereka kerana Mentega Terbang tidak boleh ditayangkan atau diedarkan di mana-mana di seluruh negara.

Justeru, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan itu dan deklarasi bahawa Seksyen 26 APF adalah ultra vires atau melangkaui kuasa Perkara 10(1) dan (2) serta Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 6 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan semakan kehakiman mereka.

Filem itu, yang disiarkan di platform penstriman video, telah mencetuskan bantahan dan kemarahan dalam kalangan masyarakat kerana didakwa memaparkan adegan yang menyentuh serta memperlihatkan percanggahan kepercayaan dan unsur-unsur agama.

Pada prosiding hari ini, peguam N. Surendran yang mewakili Mohd Khairianwar dan Tan, berhujah bahawa Seksyen 26 APF melanggar hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali, yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan kerajaan, pula berkata kandungan filem itu menghina agama Islam selain menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia dan jika terus ditayangkan, ia berpotensi mencetuskan keresahan serta kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS