Kerjasama baharu antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS di Negeri Sembilan bukan sahaja sekadar untuk menawan negeri berkenaan, malah berkongsi kejayaan merampas kerusi-kerusi daripada Pakatan Harapan (PH) - jika PN kekal bertanding di 11 kerusi yang diperuntukkan kepadanya.
Walaupun sasaran BN adalah untuk menumbangkan dua jeneral PH - menteri besar sementara Aminuddin Harun dan setiausaha agung DAP Anthony Loke - ia tidak akan memonopoli semua kerusi berpotensi yang boleh beralih arah itu untuk parti itu sendiri.

Analisis corak pengundian semasa pilihan raya umum ke-15 menunjukkan bahawa daripada lima kerusi PH yang menyaksikan gabungan undi BN dan PN memperoleh majoriti, tiga daripadanya akan ditandingi oleh PN - Sikamat, Klawang, dan Ampangan.
Sikamat - bekas kerusi Aminuddin - dan Ampangan kini dipertahankan oleh PKR manakala Amanah pula mempertahankan Klawang.
Kerusi boleh beralih
Dua lagi kerusi yang boleh beralih arah iaitu Chennah dan Pilah akan dipertahankan oleh Loke dan PKR menentang calon BN.
Selain membolehkan pakatan itu merampas kerusi-kerusi berkenaan, pakatan BN-PN berkemungkinan besar akan mengukuhkan peluang PN untuk mengekalkan empat kerusi: Serting, Paroi, Bagan Pinang, dan Gemas.
Bagi baki kerusi PN iaitu Labu - yang kini disandang oleh Bersatu - kawasan ini akan ditandingi oleh BN.

Bersatu - yang kini disingkirkan daripada PN - mungkin akan menjejaskan peluang gabungan itu di kerusi-kerusi berkenaan jika ia bertindak sebagai pemecah undi dan bertanding menentang parti serpihannya, Wawasan dan PAS.
Di Johor, walaupun PN tidak menghadapi pertindihan kerusi, terdapat tanda-tanda jelas bahawa penyokong PAS dan Bersatu tidak saling mengundi antara satu sama lain, sebaliknya mereka memberikan undi kepada BN.
Dalam situasi yang Bersatu bertindak sebagai pemecah undi di kerusi tanpa BN, masih belum jelas sama ada agenda perpaduan Melayu yang memacu pakatan BN-PN mampu mengetepikan kesan kehadiran pesaing ketiga.
Berkongsi kekalahan
Sementara itu, BN dan PN bukan sahaja akan berkongsi kemenangan, tetapi mereka dijangka menempuh kekalahan mutlak di beberapa kerusi utama PH.

Empat daripada kerusi yang diperuntukkan kepada PN - Lobak, Bukit Kepayang, Mambau, dan Lukut - merupakan kubu kuat PH.
Sebanyak 8 lagi kubu kuat PH yang sukar ditembus akan ditandingi oleh BN, iaitu Seremban Jaya, Chuah, Rahang, Bahau, Temiang, Sri Tanjung, Repah, dan Nilai.
PH memperoleh lebih 50 peratus undi di 12 kerusi ini, dan BN-PN memerlukan kemerosotan besar dalam jumlah keluar mengundi di kalangan penyokong PH untuk berpeluang tipis menang di kerusi-kerusi berkenaan.
