Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sah kerjasama dengan BN, PN umum 11 calon lawan PH di N Sembilan

PN malam ini mengumumkan senarai 11 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus mengesahkan kerjasama gabungan itu bersama BN untuk menghadapi PH di negeri berkenaan.

Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan calon-calon daripada PAS, Wawasan, Gerakan dan MIPP di Kompleks PAS, Ampangan, Seremban.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas BN menamakan calon bagi 25 kerusi, dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Mohamad Hasan memberi bayangan baki 11 kerusi akan diumumkan oleh “rakan yang boleh dipercayai”.

“Semalam Tok Mat (Mohamad Hasan) sebut dalam pengisytiharan calon BN, BN akan ada persefahaman dengan ‘rakan’.

“Malam ini ‘rakan itu’ akan mengistiharkan calon, memulakan langkah ini,” katanya.

Barisan calon yang ditampilkan PN kali ini terdiri daripada beberapa bekas Adun serta seorang bekas Exco.

Bekas Adun Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa dipertaruhkan untuk merampas semula kerusi N05 Serting, manakala bekas Exco Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Abdul Malek, akan bertanding di kerusi N14 Ampangan.

Mohamad Rafie pernah berkhidmat dalam kerajaan negeri dari tahun 2018 hingga Ogos 2023.

Bekas Adun Paroi, Kamarlol Ridzuan Mohd Zain, akan bertanding di kerusi N25 Paroi, manakala bekas Adun Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria, dicalonkan di kerusi N31 Bagan Pinang.

Kedua-dua mereka berkhidmat sebagai Adun dari tahun 2023 sehingga DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada tahun ini.

Bagi kerusi N04 Klawang, PN mempertaruhkan Dani Rais, 39, anak kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim.

Bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Razali Abu Samah, pula akan bertanding di kerusi N13 Sikamat.

Calon-calon lain terdiri daripada Kumar Paramasivam di N11 Lobak; Erik Michael di N23 Mambau; Ridzuan Ahmad di N34 Gemas; Lee Boon Shian, 41, di N21 Bukit Kepayang; dan Sathes Kumar Nilameham di N30 Lukut.

Samsuri berkata 11 calon PN tersebut melengkapkan 25 calon yang diumumkan BN pada malam sebelumnya.

“Tadi telah disebut oleh (Presiden Gerakan) Dominic (Lau), kita akan lengkapkan 11, campur 25 diisytiharkan (BN) malam tadi.

"Calon-calon bertanding kali ini, kita panggil mereka sebagai calon Perikatan Nasional, calon kita bersama,” katanya.

Setuju kerjasama dengan BN

Sementara itu, Presiden Parti Wawasan Negara, Hamzah Zainudin, berkata pengumuman oleh BN dan PN menunjukkan kedua-dua gabungan bersetuju untuk bekerjasama dalam pilihan raya tersebut.

"Semalam saya dengar ucapan rakan-rakan saya. Kata BN hanya akan umumkan 25 dari 36 calon. Itu semalam.

"Saya dengar ucapan dari pengerusi BN Negeri Sembilan, dia kata hari ini kita umum 25, esok kita nak dengar ‘rakan baik’ kita umum selebihnya.

"Kerusi Negeri Sembilan 36, dia (BN) umum 25…apa makna? Maknanya kita bersetuju (kerjasama)… jajaran baru kita Insya Allah!" kata Hamzah.

Sementara itu, Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, sebelum ini mengumumkan parti itu tidak akan meletakkan calon di Negeri Sembilan, sebaliknya akan menumpukan usaha membantu PN.

Dengan pengumuman malam ini, Bersatu disahkan tidak tersenarai dalam barisan calon PN, sebaliknya parti itu akan mengumumkan calon-calon yang akan bertanding menggunakan logo sendiri.

Hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 18 Julai, manakala hari pengundian pada 1 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS