Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) melahirkan rasa tidak puas hati terhadap maklum balas kerajaan mengenai beberapa syor dalam laporan jawatankuasa itu berhubung pembangunan tanah Kuala Lumpur.
Ini khususnya membabitkan keputusan menolak syor meminda undang-undang berkaitan bagi mewujudkan sistem ahli majlis lantikan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin memberi amaran keputusan itu boleh menjejaskan usaha memperkukuh ketelusan serta semak dan imbang dalam pentadbiran ibu negara.
“PAC berpandangan bahawa cadangan pindaan terhadap akta berkaitan bagi mewujudkan sistem Ahli Majlis di DBKL yang tidak dapat dilaksanakan dikhuatiri menjejaskan usaha memperkukuh agenda semak dan imbang.

“Tindakan yang hanya bersandar kepada reformasi pentadbiran dalaman sedia ada dianggap tidak memadai dalam menjamin tahap ketelusan organisasi kerana ketiadaan perubahan struktur dalam DBKL,” kata Mas Ermieyati.
Kenyataan PAC itu dikeluarkan semalam, selepas prosiding tindakan susulan bersama wakil Jabatan Wilayah Persekutuan, DBKL, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Jawatankuasa itu turut mengulangi syornya supaya jawatan pengerusi Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL) dikembalikan kepada menteri Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, PAC mengambil maklum perkara itu masih tertakluk kepada pertimbangan kabinet.
PAC berkata pengembalian jawatan pengerusi kepada menteri akan memperkukuh akauntabiliti demokrasi terhadap keputusan pembangunan tanah di Kuala Lumpur.
Kurang ketelusan
Isu lain yang dibangkitkan jawatankuasa itu ialah ketiadaan libat urus bermakna bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur dalam urusan pemberimilikan tanah.
Walaupun ahli parlimen mempunyai akses kepada sistem Pusat Sehenti (OSC) DBKL, PAC berkata proses kelulusan di bawah jawatankuasa tanah masih dilaksanakan tanpa rundingan bermakna bersama wakil rakyat.

Menurutnya, ketidaktelusan maklumat menyukarkan Ahli Parlimen menjelaskan keputusan pemberimilikan dan pembangunan tanah atau menjawab bantahan penduduk di kawasan masing-masing.
PAC turut menggesa kerajaan memberikan perhatian lebih serius terhadap reformasi struktur menyeluruh kerana banyak syor dasar kritikal yang dikemukakannya masih dikembalikan kepada kabinet untuk pertimbangan.
Jawatankuasa itu mendesak Putrajaya mempamerkan keazaman politik sebenar dengan mempertimbangkan semula syor-syornya bagi menunjukkan komitmen menyelesaikan masalah tatakelola berkaitan pengurusan dan pembangunan tanah di Kuala Lumpur.
“PAC bimbang bahawa suara rakyat terus dipinggirkan dan sekali gus menggugat kesejahteraan awam secara keseluruhan,” tegas Mas Ermieyati.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan tidak akan meneruskan cadangan memperkenalkan sistem ahli majlis lantikan di DBKL, sebaliknya memilih untuk memperkukuh kerangka tatakelola sedia ada di bandar raya itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata keputusan berkenaan dibuat selepas kajian kebolehlaksanaan selama empat bulan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Kajian itu mendapati pengenalan ahli majlis boleh mewujudkan satu lagi lapisan dalam proses membuat keputusan, sekali gus menyebabkan pertindihan tanggungjawab dan ketidakjelasan akauntabiliti.
Sebaliknya, kajian itu mengesyorkan penambahbaikan terhadap mekanisme tatakelola sedia ada DBKL, termasuk memperkukuh lembaga penasihatnya serta meningkatkan peranan pemantauan Ahli Parlimen Kuala Lumpur menerusi libat urus berkala, jawatankuasa pemantauan dan saluran rasmi untuk membangkitkan masalah penduduk.

Susulan kajian itu, kabinet mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan mengutamakan aspek tatakelola, akauntabiliti serta semak dan imbang dalam DBKL sebelum mempertimbangkan pindaan terhadap Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Syor PAC
Syor PAC untuk memperkenalkan sistem ahli majlis lantikan merupakan antara cadangan dalam laporannya mengenai pembangunan tanah Kuala Lumpur yang dibentangkan di Parlimen pada Ogos tahun lalu.
Laporan itu disediakan selepas siasatan mengenai isu tatakelola dan ketelusan dalam urusan kelulusan tanah di ibu negara.
Dalam laporannya, PAC mengesyorkan beberapa pembaharuan bagi menambah baik tatakelola pembangunan tanah Kuala Lumpur, termasuk:
Menubuhkan jawatankuasa tetap mengenai urusan tanah Kuala Lumpur yang membabitkan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi memantau pemberimilikan dan pembangunan tanah.
Mengembalikan jawatan pengerusi JKTWPKL kepada menteri Wilayah Persekutuan bagi memperkukuh akauntabiliti demokrasi.
Meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1982 bagi memperkenalkan sistem ahli majlis lantikan DBKL untuk meningkatkan semak dan imbang.
Memastikan semua keputusan penggunaan tanah mematuhi Pelan Struktur Kuala Lumpur dan Pelan Tempatan, manakala sebarang penyimpangan perlu dijelaskan kepada umum.
Memastikan penjualan tanah kerajaan dilakukan secara telus menerusi tender terbuka dan bukannya rundingan terus.
Menyemak semula formula pengiraan premium tanah supaya lebih mencerminkan nilai pasaran dan mengelakkan tanah kerajaan diberi milik pada harga di bawah pasaran.
Memperkukuh daya tahan iklim Kuala Lumpur dengan memastikan kolam takungan banjir memenuhi piawaian perlindungan banjir yang ditetapkan.
Meletakkan hak milik tanah yang menempatkan aset JPS di bawah jabatan itu bagi melindungi prasarana tebatan banjir.
Memastikan pembangunan di atas tanah rizab sungai tidak menjejaskan fungsi sungai atau meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh.
Mengkaji semula konsep pemberimilikan dan pembangunan tanah bagi projek kolam takungan banjir Kampung Bohol untuk melindungi ketelusan dan kepentingan awam.
Membuka akses sistem OSC 3.0 Plus DBKL yang mengandungi maklumat mengenai tanah milik kerajaan kepada orang ramai dengan segera.
Pada November lalu, tujuh ahli parlimen Kuala Lumpur mengemukakan Rang Undang-undang Ahli Persendirian bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Mereka menyifatkannya sebagai pembaharuan yang sudah lama tertangguh bagi membendung pemusatan kuasa di tangan datuk bandar Kuala Lumpur.
Ahli parlimen penyokong kerajaan itu sebaliknya mahu sistem pentadbiran berasaskan ahli majlis diperkenalkan di ibu negara.
