Seorang tokoh berpengaruh Bersatu hari ini memberikan gambaran tentang dilema yang dihadapi parti tersebut ketika berurusan dengan PAS dalam mendepani pelbagai cabaran politik semasa.
Menafikan parti itu ‘tamak’ kerana menyarankan untuk bertanding 15 kerusi di Negeri Sembilan, Marzuki Mohamad berkata, Bersatu tidak ada banyak pilihan dengan apa yang diperlakukan oleh PAS dalam PN.
Kata Marzuki, Bersatu ditubuhkan untuk bertanding dalam pilihan raya dan ia adalah sesuatu yang biasa bagi sesebuah parti politik dan termaktub dalam perlembagaan.
Jika tidak, kata bekas pegawai kanan Muhyiddin Yassin itu, pertubuhan tersebut tidak dianggap parti politik sebaliknya sekadar sebuah NGO.
Pada masa sama katanya, PAS – yang kini menguasai pelbagai jawatan strategik dalam PN – bertindak seolah-olah mengurung Bersatu dalam sebuah bilik dan ia dikunci.
“Apabila awak (PAS) jadi tuan rumah PN, awak kunci Bersatu dalam bilik.
“Apabila Bersatu tendang pintu rumah untuk membebaskan diri, awak tuduh Bersatu merosakkan harta benda. Ini sifat pembuli,” katanya dalam hantaran hari ini.
Ia hadir ketika pemimpin PAS mencatur gerakan menghadapi PRN Negeri Sembilan bersama Umno-BN tanpa melibatkan Bersatu di sebalik kedua-duanya adalah komponen utama PN.
Baru dua tiga hari peluk Umno
Semalam PN mengesahkan kerjasama antara mereka dalam PRN Negeri Sembilan apabila mengumumkan calon di 11 kerusi DUN yang tidak ditandingi oleh BN. Sebelum ini BN sudah mengumumkan calon bagi 25 kerusi lain.
DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi secara keseluruhan.
Percaturan itu menjadikan PH – yang sebelum ini mengetuai kerajaan negeri – mungkin berdepan dengan cabaran utama satu lawan satu di semua kerusi, selain pembabitkan parti lain atau calon bebas.
Untuk rekod DUN Negeri Sembilan dibubarkan selepas wujud gerakan untuk menjatuhkan menteri besar, Aminuddin Harun, melalui tindakan bersama Adun Umno-BN dan disambut oleh PN.
Sebelum ini PAS dilihat bekerjasama secara tidak rasmi dengan Umno-BN di Johor.

Pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PN semalam pula langsung tidak melibatkan Bersatu.
Marzuki juga berkata pemimpin PAS cuba memberi gambaran yang Bersatu membuat permintaan yang tidak dapat dipenuhi.
Memetik kenyataan Annuar Musa, Marzuki berkata, Ketua Penerangan PN yang juga anggota Jawatankuasa PAS Pusat itu memberitahu jika ada parti ketiga yang bertanding melawan PN dan BN, ia perlu dihukum kerana memecahkan penyatuan yang terbina.
“Dia (Annuar) nak tuduh kalau Bersatu bertanding dalam PRN Negeri Sembilan, Bersatu nak memecahkan penyatuan Melayulah tu.

“PAS dah 75 tahun melawan Umno (tetapi) tidak pula dituduh memecahkan penyatuan Melayu.
“Baru dua tiga hari memeluk Umno, dah tuduh orang yang melawan Umno dan PAS memecahkan penyatuan Melayu,” katanya.
Berkenaan permintaan Bersatu untuk bertanding di 25 kerusi di Negeri Sembilan, Marzuki berkata, ia adalah perkara biasa untuk mana-mana pihak memulakan rundingan.
Apabila dirundingkan, katanya, jumlah itu akan berkurangan sehingga menjadi lima atau enam kerusi saja.
“Tetapi masalahnya rundingan dengan Bersatu dihentikan tanpa sebab yang munasabah.
“Nawaitu yang sebenarnya ialah untuk tidak membenarkan Bersatu bertanding satu kerusi pun atas logo PN. Jadi, apa pilihan Bersatu?
“Bertanding guna logo sendirilah,” katanya lagi.
