Pembubaran Parlimen hari ini tidak menghalang masyarakat Cina menjalankan aktiviti-aktiviti dan perayaan mereka, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Mereka boleh merayakan apa-apa perayaan dan menjalankan aktiviti mereka walaupun dalam sibuk berkempen.

"Ia tidak menjejas perayaan mereka dan mereka merayakannya seperti biasa," kata Perdana Menteri dalam sidang media khas di Putrajaya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengapa beliau membubarkan Parlimen ketika kaum itu sedang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Tahun Baru Cina jatuh pada 7 Februari lalu dan dirayakan selama lima belas hari. Hari ini adalah hari ketujuh.

Sebelum itu, Abdullah mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini.

Katanya, kerajaan-kerajaan negeri juga telah dinasihatkan supaya mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, juga berkuatkuasa hari ini.

Bagaimanapun, bagi Sarawak, pilihanraya umum kali ini hanya membabitkan kerusi Parlimen.

"Tiada kesalahan membubarkan Parlimen lebih awal dan angka 13 tidak perlu ulas kegemaran saya atau tidak kerana yang penting sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong," kata Abdullah lagi.

Ketika ditanya mengapa beliau tidak boleh memberitahu tarkh sebenar Parlimen dibubarkan, Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh membayangkannya selagi tidak mendapat perkenan baginda.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong mesti diberitahu sebelum beliau membuat keputusan tersebut.

Dalam sidang media tadi, Abdullah juga mengulangi bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan menang besar sebagaimana dalam pilihanraya umum lalu.

"Tahun 2004 adalah rekod istimewa," katanya sambil menambah BN akan menang dengan majoriti dua pertiga.

Abdullah berkata, jentera pilihanraya BN sudah disusun dan hanya menunggu masa digerakkan sahaja.