Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemelut NS: Tindakan Undang Rembau pecat 3 Dato Lembaga dipersoal

Dalam perkembangan terbaru pertikaian institusi diraja Negeri Sembilan, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) minggu ini mengeluarkan surat pemecatan terhadap tiga Dato' Lembaga Luak Rembau.

Tindakan terbaru itu difahamkan merupakan kesinambungan kepada langkah DKU sebelum ini yang melucutkan jawatan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin, iaitu salah seorang daripada empat Undang Luak yang sebulat suara memutuskan untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada April lalu.

Menurut salinan surat yang tular di media sosial, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, memaklumkan bahawa tindakan itu dibuat atas arahan Undang Luak Rembau yang baru, Hassan Ab Hamid, yang mengesahkan pemecatan Abdul Razak Yassin, Zaharuddin Idris dan Azmi Ahmad.

Ketiga-tiga mereka ialah Dato' Lembaga Luak Rembau, iaitu pemegang jawatan adat yang berada satu peringkat di bawah Undang dalam hierarki kepimpinan Adat Perpatih di Luak Rembau.

Surat bertarikh 15 Julai itu menyatakan: "Dimaklumkan bahawa dewan ini mengesahkan pelucutan gelaran pusaka terhadap tiga pemegang gelaran berikut selaras dengan titah Undang Luak Rembau ke-22.

"Pelucutan tersebut berkuat kuasa seperti berikut..."

Menurut surat itu, pelucutan gelaran Abdul Razak berkuat kuasa pada 7 Ogos 2024, manakala Zaharuddin dan Azmi masing-masing pada 12 Ogos dan 16 Ogos tahun yang sama.

Untuk rekod, pada tarikh-tarikh berkenaan, Abdul Rahim masih diiktiraf sebagai Undang Luak Rembau.

Titah berasingan yang dikeluarkan kepada setiap Dato' Lembaga menunjukkan Hassan mengesahkan keputusan yang dibuat oleh mesyuarat Dato'-Dato' Lembaga Luak Rembau pada tarikh berkenaan, selain menetapkan bahawa segala tindakan yang diambil oleh mereka selepas itu adalah terbatal dan tidak sah.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, Abdul Razak – yang menyandang gelaran Dato' Perba – mengesahkan beliau bersama dua lagi Dato' Lembaga menerima surat berkenaan.

Bagaimanapun, Abdul Razak berkata mereka tidak mengiktiraf keputusan tersebut kerana mendakwa ia tidak sah di sisi adat dan undang-undang memandangkan Hassan tidak mempunyai kuasa sebagai Undang.

"Surat itu tidak sah kerana kami tidak mengiktiraf Undang yang mengeluarkannya.

"Dia (Hassan) sendiri bukan Undang yang sah kerana tidak dilantik oleh Majlis Dato'-Dato' Lembaga Luak Rembau," katanya.

Abdul Razak turut mendakwa DKU dan Raja Norazli tidak sepatutnya mengeluarkan surat sedemikian kepada mereka.

Menurutnya, DKU ketika ini tidak boleh mengadakan sebarang mesyuarat berikutan wujud perintah injunksi mahkamah, sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan seperti itu.

Beliau turut mendakwa kedudukan Abdul Rahim serta semua Undang Luak di Negeri Sembilan kekal dengan status quo berikutan perintah injunksi tersebut.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS