Umno bahagian Padang Besar mencalonkan Menteri Sumber Ali dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, bertanding di kawasan parlimen itu walaupun beliau bukan calon yang popular.

Menurut satu sumber Umno bahagian, dalam pengundian untuk menyenaraikan bakal calon-calon dalam pilihan raya ke-12, Azmi mendapat tempat ke-16 daripada 24 orang yang dinamakan oleh bahagian tersebut.

Pengundian dibuat oleh 27 ahli jawatankuasa bahagian pada 31 Disember lalu.

Badan Perhubungan Umno Perlis meminta Umno bahagian Padang Besar dan bahagian lain menghantar tiga nama untuk diteliti sebelum dimajukan kepada ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Seorang pemimpin Umno Perlis memberitahu Malaysiakini, keputusan menghantar 24 nama itu dibuat atas kehendak ketua bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Zahidi, ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini, mengesahkan nama beliau turut dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Padang Besar.

Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu jumlah pencalonan yang diperolehinya.

"Zahidi menggunakan kuasanya sebagai timbalan ketua perhubungan Umno Perlis dan ketua Umno bahagian untuk menghantar senarai 24 calon tersebut.

"Saya diberitahu ada Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Padang Besar yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut tetapi ia tidak diendahkan," kata sumber itu lagi.

Pemimpin itu berkata, Zahidi pernah memberitahunya jika AJK tidak bersetuju nama Azmi dicalonkan, biarlah nama beliau juga tidak disenaraikan dalam pencalonan tersebut.

Sementara itu, Zahidi berkata, semua orang yang berminat dan mahu bertanding dalam Parlimen Padang Besar ada dalam senarai tersebut.

"Cara ini memberi keadilan kepada semua yang mahu bertanding, biar pucuk pimpinan parti yang memilih," katanya.