Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zizie Izette tiba di mahkamah untuk dengar keputusan kes rasuah
Diterbitkan:  Jul 20, 2026 9:08 AM
Dikemaskini: 1:08 AM

Zizie Izette Abdul Samad tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan sama ada dia dilepaskan atau disabitkan atas tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Bhd (Public Mutual).

Zizie Izette, 47, yang mengenakan sut serba kelabu tiba kira-kira jam 8.30 pagi.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rosli Ahmad, dijangka membacakan keputusan di akhir kes pembelaan pada 9 pagi.

Isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Bung Moktar Radin itu berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.

Pasukan pembelaan menutup kesnya selepas Zizie Izette selesai memberi keterangan membela diri pada 5 Mac lepas, manakala Bung Moktar memberi keterangan pada 2 Sept 2025.

Kedua-dua mereka gagal mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan berkenaan pada 18 Nov 2024 selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan pasangan terbabit oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Sept 2023.

Mahkamah tinggi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette bagi menyemak keputusan mahkamah sesyen pada 2 Sept 2022 yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 16 Jan lalu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap bekas ahli politik itu yang meninggal dunia pada 5 Dis 2025.

Pada 2 Sept 2022, hkim mahkamah sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar – ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Bhd – dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II untuk Felcra Bhd membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.

Dia juga dituduh bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Bhd Cawangan Taman Melawati pada 12 Jun dan 19 Jun 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS