Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
De la Fuente puji semangat juang Sepanyol tumbangkan Argentina
Diterbitkan:  Jul 20, 2026 11:11 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Ketua jurulatih Luis de la Fuente memuji semangat bersatu padu anak buahnya selepas Sepanyol menjuarai Piala Dunia menerusi kemenangan 1-0 ke atas Argentina selepas masa tambahan pada aksi final, Ahad, lapor Xinhua.

Pemain gantian pada separuh masa kedua, Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 untuk menghadiahkan Sepanyol kejuaraan Piala Dunia kedua dan yang pertama sejak 2010.

“Saya amat berbangga. Bangga dengan generasi pemain bola sepak ini yang membesar dengan falsafah ini, terus berpegang teguh kepadanya dan memberikan yang terbaik.

“Mereka menjadi contoh sebuah pasukan, kumpulan dan keluarga yang terdiri daripada pemain-pemain hebat serta luar biasa.

“Saya amat berbangga kerana dapat menemani mereka dalam perjalanan ini.

"Berada bersama mereka sepanjang perjalanan ini merupakan satu penghormatan," kata De la Fuente selepas perlawanan.

Sepanyol turut membolot anugerah individu yang disampaikan selepas perlawanan di Stadium New York New Jersey.

Kapten Rodri dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan, pemain pertahanan Pau Cubarsi dipilih sebagai pemain muda terbaik manakala Unai Simon memenangi anugerah Sarung Tangan Emas selaku penjaga gol terbaik.

Pasukan Eropah itu tidak tewas sepanjang kejohanan dan hanya dibolosi sekali dalam lapan perlawanan.

De la Fuente berkata anak buahnya sememangnya layak menerima segala pengiktirafan.

“Saya tidak mampu menggambarkan perasaan saya. Apa yang boleh saya katakan ialah segala usaha ini berbaloi.

“Sudah tentu saya sangat beremosi ketika ini, khususnya selepas menyaksikan segala-galanya yang berlaku di sebalik tabir.

“Saya banyak berbicara dengan para pemain dan mereka berkata kepada saya, ‘Bos, kita sudah memenangi segala-galanya’, dan ia sesuatu yang menakjubkan.

“Generasi pemain ini menjadi contoh kepada sukan Sepanyol dan golongan muda negara ini.

"Bersama-sama, kita jauh lebih kuat dan sebab itulah kita tidak melupakan sesiapa pun,” kata De la Fuente.

Walaupun menguasai permainan dan kelihatan lebih berbahaya ketika menyerang, Sepanyol berulang kali dinafikan penjaga gol Argentina Emiliano Martinez, yang melakukan 11 penyelamatan dalam perlawanan itu.

“Sudah tentu kami mahu memastikan kemenangan lebih awal,” kata dia sambil menambah, layangan kad merah terhadap pemain tengah Argentina Enzo Fernandez pada minit ke-93 tidak banyak mengubah rentak permainan.

“Kami terus mencuba untuk menjaringkan gol, namun tidak berjaya. Bagaimanapun, ini final Piala Dunia dan walaupun berdepan 10 pemain pada penghujung perlawanan, kami tetap perlu melalui detik sukar.

“Namun, kami gemar berdepan kesukaran dan seperti yang saya katakan, kami sudah bersedia menghadapi apa-apa sahaja,” katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS