Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco: Kerajaan negeri akan minta Jakoa teliti isu tanah Orang Asli

Kerajaan Negeri Pahang akan meminta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang serta Pejabat Daerah dan Tanah untuk meneliti bantuan bagi menyelesaikan isu pertikaian tanah masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Cot, Maran.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata isu itu akan ditangani secara berhemah, berlandaskan undang-undang serta melalui pendekatan libat urus bagi mencari penyelesaian yang terbaik demi kepentingan semua pihak.

“Kerajaan Negeri Pahang ingin menjelaskan bahawa dakwaan berhubung isu pertikaian tanah yang dikaitkan dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Cot, Maran adalah tidak seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau menjelaskan sebanyak 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan berdasarkan tuntutan bertulis kepada JAKOA, namun tanah itu turut diluluskan kepada sebuah syarikat menerusi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 pada 4 Nov 2015.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata JAKOA telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama penama Orang Asli, yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap pertindihan tuntutan antara mereka dengan syarikat yang telah menerima kelulusan berkenaan.

“Hasil perbincangan awal mendapati hanya enam orang penama masih meneruskan tuntutan melalui JAKOA. Dalam sesi perbincangan tersebut, penama terbabit mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat mereka, namun dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan berdasarkan rekod dan fakta yang ada,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Pahang kini mempunyai 264 kampung Orang Asli dengan lebih 90,000 penduduk berdaftar, termasuk 30 kampung telah selesai diwartakan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954 serta Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

“Kerajaan negeri turut meluluskan pemberian hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli yang melibatkan 16 kampung di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara,” katanya.

Syed Ibrahim berkata sebanyak 75 permohonan pewartaan tanah kepada masyarakat Orang Asli sedang diproses, dengan 31 permohonan telah lengkap untuk pertimbangan Mesyuarat MMK, manakala 44 permohonan yang melibatkan pertindihan tanah sedang melalui proses penyelesaian.

“Dalam masa yang sama, sebanyak 143 permohonan lagi berada pada peringkat awal pengukuran oleh JAKOA,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS