Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | Bagaimana KWAP boleh termakan umpan pelaburan eFishery

PANDUANKINI | Sebuah syarikat pemula (startup) akuakultur dari Indonesia, eFishery telah mencetuskan polemik di Malaysia susulan kontroversi pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat berkenaan.

Pengasas bersama syarikat itu kini menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun kerana memperdaya pelabur mengenai keadaan sebenar syarikatnya. Susulan itu, perhatian kini tertumpu kepada mengapa KWAP boleh melaburkan RM163.4 juta dalam syarikat berkenaan.

Ahli-ahli Parlimen kini mendesak supaya pihak yang bertanggungjawab dalam KWAP, yang beroperasi di bawah Kementerian Kewangan, dipertanggungjawabkan.

Pelbagai pihak berkata perkara ini tidak sepatutnya dianggap sebagai nasib malang semata-mata, sebaliknya sebagai kegagalan dalam tadbir urus dan penyeliaan.

Malaysiakini menghuraikan apakah sebenarnya eFishery, bagaimana KWAP terlibat sebagai pelabur, serta apakah implikasi skandal ini terhadap dana persaraan penjawat awam Malaysia.

Apakah eFishery?

eFishery merupakan cetusan idea Gibran Huzaifah, yang dibesarkan berhampiran kawasan setinggan di Jakarta Timur sebagai anak kepada seorang pekerja pembinaan dan suri rumah.

Semasa mengikuti pengajian dalam bidang biologi di Institut Teknologi Bandung, Gibran menyertai kursus penternakan ikan dan mula menternak ikan keli secara sambilan bagi menambah pendapatan. Menjelang tamat pengajian, perusahaan kecilnya berkembang kepada lebih 70 kolam ternakan.

Pengalamannya sebagai penternak ikan keli membuka matanya terhadap masalah utama yang dihadapi pengusaha akuakultur. Kos makanan ikan sahaja menyumbang kira-kira 70 hingga 80 peratus daripada kos pengeluaran, manakala kebanyakan penternak masih memberi makanan secara manual tanpa kaedah yang boleh dipercayai untuk mengukur jumlah makanan yang sebenarnya dimakan ikan.

Pada tahun 2013, Gibran bersama sekumpulan kecil jurutera, termasuk Chrisna Aditya, yang kemudiannya menjadi Ketua Pegawai Produk, membangunkan eFishery bagi memasarkan sistem pemberian makanan automatik untuk ikan dan udang.

Selepas itu, eFishery berkembang menjadi platform akuakultur menyeluruh. Ia bukan sahaja menawarkan sistem pemberian makanan automatik, malah membina platform yang menghubungkan penternak secara terus dengan pembeli hasil akuakultur, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Syarikat itu turut memperkenalkan beberapa produk lain seperti eFarm dan eFisheryKu, iaitu aplikasi yang membolehkan penternak memantau keadaan kolam mereka, selain eFund, cabang pembiayaan yang menghubungkan penternak dengan institusi pemberi pinjaman yang sebelum ini mungkin enggan menawarkan pembiayaan kepada mereka.

Pada April 2024, Microsoft menerbitkan satu artikel mengenai pembantu berasaskan kecerdasan buatan (AI) generatif milik eFishery yang dikenali sebagai Mas Ahya, yang dibangunkan menggunakan Microsoft Azure OpenAI Service.

Pembantu AI itu direka untuk memberikan jawapan dalam bahasa yang mudah difahami mengenai keadaan kolam dan harga pasaran, termasuk dalam dialek tempatan. Ia menjadi sebahagian daripada usaha syarikat meyakinkan pelabur bahawa eFishery bukan sekadar syarikat perkakasan, malah sebuah syarikat data dan AI.

Sebelum kejatuhannya, eFishery mendakwa telah memberi perkhidmatan kepada lebih 100,000 penternak di ratusan bandar dan daerah di Indonesia, selain menjalankan projek perintis di Bangladesh, Thailand, India dan Vietnam.

Siapakah yang membiayai eFishery dan berapakah jumlah pelaburan mereka?

Sepanjang tempoh 2015 hingga 2024, eFishery berjaya mengumpulkan kira-kira AS$315 juta melalui beberapa pusingan pembiayaan. Ia bermula dengan pelaburan benih sebanyak AS$500,000 daripada Aqua-Spark, sebuah firma pelaburan dari Belanda yang memberi tumpuan kepada sektor akuakultur lestari, pada September 2015.

Berikut ialah antara pelabur utama eFishery:

  • Pusingan Siri A (November 2018) - eFishery memperoleh AS$4.7 juta, diketuai oleh firma modal teroka (VC) berpangkalan di Singapura, Wavemaker Partners. Pada 2022, Wavemaker memenangi anugerah "VC Deal of the Year" sempena Anugerah Persatuan Modal Teroka dan Ekuiti Persendirian Singapura (SVCA) ke-30 hasil pelaburannya dalam eFishery.

  • Pusingan Siri B (Ogos 2020) - Pusingan pembiayaan bernilai AS$14 juta itu menarik penyertaan Northstar Group, GO-Ventures, dan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan dari Amerika Syarikat, Endeavor, selain pelabur sedia ada seperti Aqua-Spark dan Wavemaker Partners.

  • Pusingan Siri C (Januari 2022) - eFishery memperoleh AS$90 juta, yang ketika itu disifatkan sebagai pusingan pembiayaan terbesar pernah diterima oleh syarikat teknologi akuakultur.

  • Pelaburan tersebut diterajui bersama oleh syarikat pelaburan milik kerajaan Singapura, Temasek, dana modal teroka Jepun SoftBank Vision Fund 2, serta Sequoia Capital India, yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Peak XV Partners. Naib Presiden Sequoia, Aakash Kapoor, dilaporkan menyifatkan eFishery sebagai "peneraju yang tidak dapat dipertikaikan" dalam pasaran akuakultur Indonesia yang berpecah-pecah, manakala Pengarah Pelaburan SoftBank ketika itu, Anna Lo, berkata industri perikanan Indonesia mampu memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan makanan penduduk dunia yang semakin meningkat.

  • Siri D (Pertengahan 2023): Suntikan dana sebanyak AS$200 juta, diterajui oleh 42XFund dari Abu Dhabi (dahulunya dikenali sebagai G42 Expansion Fund), bersama penyertaan SoftBank, Temasek dan Northstar, melonjakkan penilaian eFishery melepasi AS$1.4 bilion, sekali gus menjadikannya unicorn agritech pertama Indonesia.

Pada pusingan inilah KWAP menyertai sebagai pelabur buat kali pertama dengan pelaburan yang kemudian disahkan bernilai RM163.4 juta. Beberapa laporan menganggarkan jumlah itu mewakili kira-kira 24 peratus daripada keseluruhan dana yang diperoleh dalam pusingan tersebut.

Pada Mei 2024, eFishery turut memperoleh pinjaman tambahan sebanyak AS$30 juta daripada HSBC Indonesia, sekali gus melengkapkan usaha pengumpulan dananya sebelum penipuan itu terbongkar. Ketika itu, KWAP merupakan salah satu daripada puluhan pelabur institusi yang secara kolektif telah melaburkan lebih AS$300 juta ke dalam syarikat tersebut.

Apa sebenarnya berlaku?

Dalam satu temu bual selama lima jam bersama Bloomberg pada April tahun lalu, Gibran Huzaifah menceritakan bagaimana dia meneliti satu hamparan data (spreadsheet) pada 2018 yang menunjukkan syarikatnya hampir kehabisan wang tunai. Ketika itu, dia cuba memalsukan angka kewangan syarikat untuk mengelakkannya gulung tikar.

Menurut pengakuannya, penipuan itu bermula pada tahun yang sama ketika dia sedang berusaha melengkapkan pusingan pembiayaan Siri A.

Bagi meyakinkan pelabur bahawa eFishery berada dalam keadaan kewangan yang lebih kukuh daripada realiti sebenar, Gibran menubuhkan rangkaian syarikat proksi (shell companies) untuk menaikkan secara palsu hasil pendapatan yang dilaporkan syarikat.

Apa yang pada mulanya dianggap sebagai langkah sementara akhirnya menjadi amalan berterusan. Syarikat menyimpan dua set rekod kewangan - satu rekod sebenar untuk kegunaan dalaman, manakala satu lagi rekod yang telah dimanipulasi ditunjukkan kepada pelabur, pemberi pinjaman dan juruaudit.

Skala penipuan itu hanya terbongkar selepas seorang pemberi maklumat (whistleblower) melaporkannya kepada lembaga pengarah eFishery pada penghujung 2024, yang membawa kepada penggantungan Gibran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Menurut laporan Bloomberg pada 6 Februari 2025, siasatan dalaman yang disokong beberapa pelabur mendapati bahawa walaupun eFishery melaporkan keuntungan sebanyak AS$16 juta bagi sembilan bulan pertama 2024, syarikat itu sebenarnya mengalami kerugian AS$35.4 juta.

Bagi tempoh yang sama, FTI Consulting Singapore menganggarkan eFishery telah melebih-lebihkan hasil pendapatannya hampir AS$600 juta, bermakna lebih 75 peratus daripada angka yang dilaporkan adalah palsu.

Bukan itu sahaja, dakwaan mengenai operasi syarikat juga didapati direka-reka. eFishery memaklumkan kepada pelabur bahawa ia mempunyai 400,000 peranti pemberian makanan ikan yang beroperasi di lapangan, sedangkan jumlah sebenar hanya sekitar 24,000 unit.

Dalam temu bual itu, Gibran berkata perbualannya dengan beberapa pengasas syarikat pemula lain di Indonesia menunjukkan bahawa "mengubah suai" angka kewangan merupakan amalan yang biasa dilakukan. Dia mempersoalkan sama ada perbuatan itu benar-benar menyalahi undang-undang kerana beranggapan "semua orang melakukannya."

Gibran turut menegaskan bahawa tiada wang yang dicuri kerana semua dana digunakan untuk mengambil pekerja berbakat, membayar komisen dan melangsaikan hutang. Dia berkata semua keputusan itu dibuat demi memastikan syarikat terus bertahan.

"Apabila saya melihat kembali, saya hanya mahu mencipta impak yang besar terhadap dunia tanpa memikirkan sama ada impak itu sepatutnya berkekalan, walaupun dalam skala yang lebih kecil," katanya.

Apa yang berlaku kepada pengurusan eFishery?

Pada Ogos 2025, polis Indonesia menahan Gibran bersama dua lagi bekas eksekutif kanan eFishery, beberapa bulan selepas pengakuannya kepada Bloomberg disiarkan.

Pendakwa raya mendakwa Gibran mengikut Perkara 374 Kanun Keseksaan Indonesia, yang melibatkan kesalahan penggelapan harta oleh seseorang yang memegang jawatan, serta Perkara 3 Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram negara itu.

Pendakwa mendakwa Gibran mengarahkan manipulasi akaun eFishery melalui Multidaya Teknologi Nusantara, entiti sah di sebalik syarikat itu, sehingga menyebabkan kerugian kira-kira 69.47 bilion rupiah (sekitar AS$4.2 juta).

Pada prosiding mahkamah pada 15 April, pendakwa raya memohon hukuman penjara 10 tahun terhadap ketiga-tiga tertuduh, selain denda 1 bilion rupiah bagi setiap seorang.

Bloomberg melaporkan bahawa ketika membela diri di mahkamah, Gibran menyampaikan pembelaan yang penuh emosi. Dia menafikan memperkayakan diri sendiri dan merayu agar hakim tidak menganggap kes itu sebagai kes jenayah.

"Menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap saya bagi kes di mana niat, perbuatan dan aliran wang kepada diri saya sendiri tidak pernah dibuktikan adalah satu ketidakadilan yang akan memusnahkan harapan mana-mana anak bangsa yang mahu berinovasi," katanya menurut teks hujah pembelaannya.

Namun, pada 29 April, Mahkamah Daerah Bandung mensabitkan ketiga-tiga mereka atas kesalahan menggelapkan wang dan pengubahan wang haram.

Gibran dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun, iaitu setahun lebih rendah daripada hukuman yang dipohon pendakwa raya, selain didenda 1 bilion rupiah.

Dua lagi bekas eksekutif yang disabitkan kesalahan masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tujuh tahun, serta denda yang sama.

Apa yang berlaku kepada pelabur eFishery?

Pada Februari 2025, dilaporkan bahawa FTI Consulting Singapore mendapati keadaan sebenar eFishery adalah jauh lebih buruk daripada yang dijangkakan sebelum ini. Para pelabur dijangka hanya dapat memperoleh semula kurang daripada 10 sen bagi setiap dolar AS yang mereka laburkan.

Laporan itu menyatakan bahawa G42 dari Abu Dhabi, yang melaburkan AS$100 juta dalam pusingan pembiayaan Siri D pada 2023, mungkin hanya dapat memperoleh semula sekitar AS$8.3 juta dalam senario pemulihan paling buruk.

Menurut laporan DealStreetAsia, Ketua Pegawai Pelaburan Temasek, Rohit Sipahimalani, berkata pada Julai tahun lalu bahawa dana itu menyedari risiko penipuan dalam pelaburan peringkat awal (early-stage investing) sukar untuk dihapuskan sepenuhnya.

Rohit berkata Temasek berasa "terkejut dan kecewa" dengan situasi yang melibatkan eFishery. Bagaimanapun, Ketua Pegawai Kewangan syarikat itu, Chin Yee Png, menambah bahawa portfolio pelaburan Temasek dinilai dan direkodkan dengan sewajarnya setiap tahun.

Dalam satu kenyataan pada April 2026, pengasas Aqua-Spark, iaitu pelabur terawal eFishery, mendedahkan bahawa dana itu mengalami kerugian sekitar AS$250 juta. Keadaan tersebut menyebabkan dana impak dari Belanda itu mengurangkan nilai pelaburannya hampir separuh kepada kira-kira AS$300 juta.

Majalah Aqua Culture Magazine memetik pengasas bersama Aqua-Spark, Amy Novogratz, sebagai menggambarkan kerugian itu sebagai satu kehilangan yang lebih mendalam.

Dia berkata: "Menyedari bahawa individu yang selama ini anda sanjung sebenarnya bukan seperti yang anda percayai merupakan satu bentuk luka yang berbeza."

Aqua-Spark turut memberi amaran bahawa skandal tersebut telah menghentikan secara mendadak aliran modal utama yang baru mula memasuki sektor akuakultur Asia Tenggara.

Pengasas dana itu mengakui bahawa usaha untuk membina semula keyakinan pelabur mungkin menjadi satu cabaran besar.

Ketua Pegawai Pelaburan Aqua-Spark, Maria Velkova, berkata walaupun dana tersebut telah menyemak semula prosedur usaha wajarnya (due diligence), mereka berpendapat tidak banyak perkara yang boleh dilakukan secara berbeza kerana eFishery telah melaksanakan "penipuan yang sangat terancang."

Dalam kenyataan pada 18 Julai, KWAP memaklumkan bahawa pihaknya masih meneruskan semua usaha yang tersedia bagi memaksimumkan pemulihan pelaburannya dalam eFishery.

KWAP juga sedang menjalankan siasatan dalaman serta semakan yang diperlukan berkaitan pelaburan tersebut.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, turut berkata pelaburan KWAP dalam eFishery terjejas akibat "penipuan yang dirancang", sambil merujuk kepada laporan kewangan yang telah dimanipulasi oleh pengurusan eFishery.

Dengan puluhan pemiutang dan pelabur kini berebut mendapatkan baki aset sebenar eFishery yang semakin berkurangan, jumlah pelaburan KWAP yang dapat dipulihkan dijangka sangat kecil, jika ada sekalipun, dan proses itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun.

Berapakah sebenarnya kerugian KWAP — RM163 juta atau RM200 juta?

Pada 2023, DealStreetAsia melaporkan bahawa KWAP melaburkan kira-kira AS$47.7 juta, atau sekitar RM200 juta, dalam eFishery berdasarkan saiz pusingan pembiayaan Siri D.

Angka tersebut kemudiannya dipetik secara meluas oleh media lain serta beberapa pihak berkuasa.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 15 Julai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen PKR Wong Chen bagaimanapun tidak menyatakan jumlah sebenar pelaburan KWAP dalam eFishery.

Pada 17 Julai, KWAP menjelaskan bahawa jumlah sebenar pelaburannya ialah RM163.4 juta, yang menurutnya mewakili kira-kira 2.51 peratus daripada keseluruhan pegangan saham eFishery.

Namun, sehari kemudian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kembali menggunakan angka RM200 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, mengumumkan bahawa siasatan terhadap kerugian pelaburan tersebut sedang dijalankan.

Dalam kenyataan pada 20 Julai, Ketua Penerangan MCA, Chan Quin Er, membangkitkan isu percanggahan angka berkaitan jumlah kerugian KWAP dan berkata perkara itu memerlukan penjelasan serta ketelusan daripada kerajaan.

Adakah KWAP membuat penilaian sewajarnya sebelum melabur?

Menurut KWAP dan kerajaan, jawapannya ialah ya — sekurang-kurangnya berdasarkan rekod rasmi.

Ketika menjawab soalan di Dewan Negara pada 20 Julai, Anwar berkata beberapa syarikat pelaburan terkemuka dari negara lain turut melabur dalam eFishery, selain penglibatan entiti global yang mempunyai reputasi baik seperti Goldman Sachs dan sebuah firma audit utama.

Anwar turut menjelaskan bahawa KWAP bukan hanya melabur dalam syarikat asing, malah mempunyai pelaburan besar dalam syarikat pemula tempatan.

Dia berkata keputusan yang dibuat oleh panel pelaburan KWAP dibentangkan kepada lembaga pengarah tanpa perlu mendapatkan kelulusan awal daripada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, lembaga pengarah KWAP mempunyai wakil kementerian, manakala panel pelaburan pula "semata-mata" terdiri daripada individu berlatarbelakangkan profesional.

Anwar menegaskan bahawa pelaburan tersebut, seperti pelaburan KWAP yang lain, telah melalui proses penilaian standard, kajian kebolehlaksanaan dan bergantung kepada juruaudit yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Namun, masalahnya ialah angka kewangan yang telah diaudit itu sendiri telah dipalsukan sebagai sebahagian daripada penipuan tersebut.

Anwar menegaskan bahawa pelabur global yang jauh lebih besar dan berpengalaman turut terpedaya dengan laporan kewangan yang telah dimanipulasi itu.

Bagaimanakah kerugian eFishery berbanding skandal dana awam lain?

Pada Oktober 2024, orang ramai mengetahui bahawa dana kekayaan berdaulat Khazanah Nasional dan syarikat pengurusan dana milik kerajaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengalami kerugian bersama sebanyak RM43.9 juta selepas menjual pegangan mereka dalam platform e-dagang tempatan FashionValet.

Menurut jawapan bertulis Parlimen daripada Kementerian Kewangan, Khazanah dan PNB menjual pegangan mereka dalam FashionValet pada harga hanya RM3.1 juta pada 2023, selepas melaburkan jumlah keseluruhan RM47 juta pada 2018.

Pendedahan tersebut dibuat susulan pertanyaan Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin, yang kemudian mencetuskan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Siasatan itu akhirnya membawa kepada pertuduhan pecah amanah jenayah terhadap pengasas FashionValet, Vivy Yusof dan suaminya, Fadzaruddin Shah Anuar.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen turut memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan yang dialami Khazanah dan PNB.

Dari segi nilai kewangan, pendedahan KWAP terhadap eFishery berjumlah RM163.4 juta, iaitu lebih daripada empat kali ganda berbanding kerugian dalam kes FashionValet.

Penganalisis dan pemerhati turut menyatakan bahawa isu KWAP-eFishery menimbulkan semula persoalan yang pernah dibangkitkan ketika kontroversi FashionValet, termasuk sejauh mana ketelitian dana berkaitan kerajaan dalam menilai sesuatu pelaburan, serta siapa yang perlu dipertanggungjawabkan apabila pelaburan tersebut mengalami kegagalan.

Apakah kata ahli politik lain?

Pada 17 Julai, Ahli Parlimen pembangkang kerajaan (backbencher) Hassan Abdul Karim secara terbuka menggesa Anwar Ibrahim membuat "keputusan berani" untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan dengan serta-merta.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen PKR itu berkata sekiranya terdapat pelanggaran tanggungjawab fidusiari, kecuaian atau tindakan yang bercanggah dengan prinsip tanggungjawab dan akauntabiliti, individu lain yang didapati bertanggungjawab juga perlu dipecat.

Hassan yang berlatarbelakangkan bidang guaman, mendakwa KWAP gagal mengambil iktibar daripada kesalahan berkaitan SRC International yang mempunyai kaitan dengan skandal kewangan global 1MDB.

Menurutnya, dakwaan "kecuaian" di pihak KWAP tidak boleh dipandang ringan.

Pada hari yang sama, Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Omar Mustapha, mendesak kerajaan membentangkan laporan lengkap mengenai pelaburan tersebut dalam sidang Parlimen akan datang yang dijadualkan berlangsung pada Oktober.

Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, turut berkata jawatankuasa itu akan menentukan sama ada perlu membuka siasatan sendiri terhadap pelaburan KWAP dalam eFishery.

Patutkah penjawat awam bimbang?

Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Negara bahawa kerugian RM163.4 juta dalam pelaburan eFishery perlu dilihat dalam konteks keseluruhan prestasi KWAP, yang mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Dia turut menyatakan bahawa jumlah dana KWAP berkembang sebanyak 9.3 peratus, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul melebihi 8.5 peratus.

Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, pula memberikan gambaran lebih jelas pada hari yang sama dengan memberi jaminan bahawa kegagalan pelaburan tersebut tidak akan menjejaskan pembayaran pencen penjawat awam atau kedudukan kewangan KWAP.

Dalam satu hantaran Facebook, Tengku Zafrul berkata pelaburan KWAP dalam eFishery berjumlah kurang daripada 0.1 peratus daripada keseluruhan dana KWAP bernilai RM195 bilion setakat 2025.

Tengku Zafrul turut berkata jumlah itu kurang daripada 1 peratus berbanding pendapatan pelaburan KWAP yang berjumlah kira-kira RM18 bilion dalam tahun kewangan teraudit terkini.

Dia menjelaskan bahawa KWAP berbeza daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menguruskan simpanan pekerja sektor swasta, kerana penjawat awam tidak mempunyai akaun simpanan individu di bawah KWAP.

Menteri itu menegaskan bahawa kerajaan kekal bertanggungjawab membayar pencen penjawat awam, manakala KWAP menguruskan pembayaran tersebut bagi pihak kerajaan serta membantu membiayai sebahagian tanggungjawab pencen melalui pulangan pelaburannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS