Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Iran tidak perlu kebenaran pihak luar untuk bangunkan teknologi'
Diterbitkan:  Jul 21, 2026 12:32 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Naib Presiden Pertama Iran Mohammad-Reza Aref berkata kekuatan pertahanan dan keselamatan negara itu berteraskan kemajuan sains serta teknologi, sambil menegaskan Tehran tidak memerlukan kebenaran mana-mana pihak untuk membangunkan teknologi.

Bagaimanapun, Iran bersedia berkongsi hasil pencapaiannya dengan negara sahabat, katanya.

Berucap pada mesyuarat Ibu Pejabat Pembangunan Teknologi dan Kecerdasan Buatan, Aref berkata kerajaan menyasarkan Iran berada dalam kelompok 10 negara terkemuka dunia dalam bidang kecerdasan buatan (AI), lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

“Selain membangunkan teknologi ini, langkah serius perlu diambil untuk mengaplikasikannya secara praktikal, manakala pelaksanaan pelan dan dokumen berkaitan di pelbagai institusi hendaklah dipantau secara berterusan,” katanya.

Aref memuji pencapaian saintis dan pakar teknologi negara itu, sambil berkata kemajuan sains Iran mengatasi jangkaan serta berjaya memenuhi keperluan negara dalam tempoh singkat, khususnya sepanjang dua tahun lepas dan selepas perang 12 hari.

Mengenai dasar jangka panjang, beliau berkata kerajaan sedang berusaha menangani kekurangan dalam Dokumen Visi serta mencapai matlamat yang digariskan dalam deklarasi Langkah Kedua Revolusi bagi bidang sains dan teknologi.

Aref juga menggesa negara serantau supaya memastikan wilayah masing-masing tidak digunakan untuk melancarkan tindakan terhadap Iran.

Mesyuarat itu turut meneliti laporan kemajuan sekretariat Ibu Pejabat Teknologi dan AI serta pelan hala tuju pembangunan AI bagi Kementerian Minyak dan Tenaga.

Pelan berkenaan diputuskan untuk dikeluarkan secara rasmi selepas pindaan dibuat.

Aref menegaskan pembangunan AI perlu disertai langkah konkrit bagi memastikan teknologi itu digunakan secara praktikal, selain pemantauan berterusan untuk menilai sejauh mana institusi berkaitan mencapai sasaran ditetapkan.

- Bernama- Irna


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS