Pakatan Harapan (PH) dan Parti Amanah Negara (Amanah) akan meneruskan pendekatan yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat serta negara berbanding kepentingan parti dan peribadi.
Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata PH tidak perlu panik dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya perlu menghadapinya dengan matang dan terus bekerja keras demi rakyat.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa komited membela orang Melayu dan memartabatkan Islam, bukan melalui ketakutan tetapi dasar yang memberi manfaat nyata kepada agama, bangsa dan negara.
“Kami akan terus mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan sambil membina negara yang stabil, maju dan dihormati oleh dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad berkata PH juga tidak akan sesekali terperangkap dengan mainan politik yang berasaskan sentimen dan perpecahan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu turut menekankan bahawa naratif memperlihatkan seolah-olah orang Melayu sentiasa berada dalam keadaan terancam perlu dihentikan kerana tanggungjawab utama kerajaan adalah membina keyakinan diri rakyat.
“Membela Melayu bukan dengan mengulang naratif bahawa Melayu sentiasa terancam.
“Jika kita terus menanam rasa lemah, bila kita nak membina kekuatan? Tanggungjawab kerajaan ialah membina keyakinan, bukan menyemai ketakutan.

“Melayu yang kuat bukanlah Melayu yang hidup dalam ketakutan tetapi Melayu yang berilmu, bermaruah, berintegriti, yakin diri dan berani bersaing dengan sesiapa sahaja,” katanya.
Mohamad berkata beliau yakin masyarakat Melayu kini semakin matang serta berani berdikari dan tidak lagi mudah terperdaya dengan sebarang mainan sentimen politik yang tidak berkesudahan.
“Saya juga seperti anda semua, nak lihat lahirnya generasi Melayu yang berilmu, berintegriti, berdikari dan berani bersaing dengan sesiapa pun. Melayu yang kukuh ekonominya, mampu menguasai teknologi dan boleh menguasai dunia seperti bangsa-bangsa lain di dunia ini.
“Mereka (Melayu) bukan lagi bangsa yang mengharapkan ihsan semata-mata dan Melayu kini semakin berani berdikari dan lantang menegakkan kebenaran,” katanya.
- Bernama
