Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Insinerator Rawang lulus EIA, penduduk nekad terus bantah

Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan loji insinerator sisa kepada tenaga (WTE) di Batu Arang telah diluluskan walaupun beberapa permohonan terdahulu ditolak.

Rangkaian Tolak Insinerator Rawang (RTI), yang mengetuai bantahan terhadap projek itu, berkata penduduk hanya tahu mengenai kelulusan tersebut selepas ia dipaparkan di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 19 Julai.

Jurucakapnya, Abdul Hanan Abd Mokti, mendakwa pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang notis rasmi kepada penduduk mengenai kelulusan itu.

"Kami langsung tidak menerima apa-apa notis. Kami hanya tahu mengenai kelulusan EIA itu melalui laman web JAS pada Ahad, 19 Julai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semakan di laman web jabatan itu menunjukkan EIA tersebut diluluskan selepas YTL Power Generation Sdn Bhd, menerusi sebuah firma perunding, mengemukakan laporan berkenaan pada 21 Mei.

Kelulusan itu merupakan satu pencapaian penting bagi projek tersebut, yang sekian lama ditentang oleh penduduk dan kumpulan alam sekitar kerana kebimbangan terhadap potensi kesannya terhadap kesihatan awam dan alam sekitar.

Abdul Hanan berkata, penduduk masih tidak mengetahui apakah perubahan yang menyebabkan permohonan terbaru itu akhirnya diluluskan, walaupun beberapa cubaan sebelum ini gagal.

Maklumat di laman web JAS menunjukkan laporan EIA telah dikemukakan sebanyak lima kali antara 22 April 2025 hingga 8 April 2026 sebelum akhirnya mendapat kelulusan.

"Kami tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai perubahan yang dibuat oleh perunding EIA daripada penyerahan kedua sehingga penyerahan terbaru.

"Kami juga tidak mengetahui mengapa lima penyerahan pertama tidak diluluskan atau sama ada terdapat syarat-syarat yang dikenakan bersama kelulusan penyerahan terbaru itu.

"Permintaan kami untuk mendapatkan maklumat tersebut hanya disambut dengan sikap berdiam diri. Nampaknya ketelusan dan kebertanggungjawaban bukanlah keutamaan pada masa ini," katanya.

Tidak akan mengalah

Dia berkata, kekurangan maklumat itu menimbulkan kebimbangan bahawa pihak pemaju kini mungkin meneruskan projek berkenaan tanpa halangan atau perlindungan yang mencukupi terhadap alam sekitar di Batu Arang.

"Penduduk tidak akan mengetahui apa yang telah dijanjikan oleh pihak pemaju kepada JAS, khususnya syarat-syarat yang perlu dipatuhi semasa operasi seperti kawalan pelepasan, kesan terhadap geologi kawasan sekitar, kualiti udara, kualiti air, jumlah trafik dan infrastruktur jalan raya," tambahnya.

Abdul Hanan turut mempersoalkan sama ada agensi penguat kuasa mempunyai kepakaran dan sumber yang mencukupi untuk memantau secara berterusan pematuhan terhadap sebarang syarat yang dikenakan sepanjang operasi projek itu.

Menurutnya, keadaan itu menambahkan lagi kebimbangan bahawa projek tersebut mungkin menjadi batu loncatan kepada kerajaan untuk memperluaskan pembangunan loji insinerator WTE di seluruh negara.

Bagaimanapun, walaupun EIA telah diluluskan, RTI menegaskan bahawa mereka tidak akan berundur dan akan terus menentang projek berkenaan.

Abdul Hanan berkata kumpulan itu bersama penduduk Batu Arang akan menyerahkan satu surat kepada JAS pada jam 10.30 pagi hari ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai kelulusan yang diberikan kepada projek tersebut.

"Kami akan terus mengetengahkan bahaya dan kelemahan teknologi insinerator, khususnya di Batu Arang dan juga kepada negara secara keseluruhannya.

"Memandangkan tiada pilihan lain, kami akan mengambil apa jua tindakan yang perlu, termasuk melalui saluran perundangan," katanya.

Bantahan kuat

Cadangan loji insinerator itu, yang turut dikenali sebagai Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah, merupakan salah satu daripada beberapa loji seumpamanya yang diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan sisa negeri.

Namun, projek itu menerima tentangan hebat daripada penduduk Batu Arang yang membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan kesan terhadap kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, termasuk keadaan geologi bandar tersebut memandangkan tapak cadangan projek terletak di atas bekas kawasan perlombongan arang batu terbuka.

Sebelum ini, RTI mendakwa struktur geologi kawasan itu boleh menjejaskan kestabilan tanah dan berpotensi meningkatkan risiko mendapan atau runtuhan tanah.

Kumpulan itu turut membangkitkan kebimbangan mengenai kewujudan lapisan arang batu bawah tanah di bawah Batu Arang yang didakwa memanjang sejauh kira-kira 50 kilometer.

Menurut RTI, operasi kemudahan WTE di kawasan tersebut boleh menimbulkan risiko tambahan, termasuk kemungkinan berlakunya kebakaran atau letupan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS