Dakwat kuku ditentukan esok
Penggunaan dakwat di kuku pengundi akan diumumkan esok selepas panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertemu bagi menetapkan hari penamaan calon dan hari pengundian, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Penggunaan dakwat di kuku pengundi akan diumumkan esok selepas panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertemu bagi menetapkan hari penamaan calon dan hari pengundian, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Walaupun langkah baru itu sudah dipersetujui tetapi panel SPR belum memberikan kata muktamad, tambahnya.
"Perkara itu belum lagi diputuskan oleh panel SPR dan kami akan membincangkannya dalam mesyuarat esok dan akan memberi keputusan," beliau dipetik sebagai berkata di pejabatnya hari ini.
Menurut Bernama , tarikh penamaan calon dan pengundian turut diumumkan esok susulan pembubaran Parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini.
Abdul Rashid berkata, pilihanraya kali ini dijangka memakan kos RM200 juta, jumlah tertinggi dalam sejarah, akibat peningkatan jumlah kawasan dan upah pekerja SPR.
SPR membayar elaun antara RM150 hingga RM800 sehari kepada 250,000 pekerjanya untuk pilihan raya tahun ini.
Suruhanjaya itu juga memperkenalkan kotak undi plastik lutsinar, menggantikan peti undi logam sebelumnya.
Sebanyak 50,000 kotak baru itu, yang memakan belanja RM16 juta, telah diedarkan ke seluruh negara.
Tambahnya, SPR menjangkakan pilihan raya umum ke-12 bakal menyaksikan pertandingan hebat berikutan situasi politik masyarakat yang berada pada tahap tinggi.

