Negara-negara anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan menentukan nasib Ketua Pendakwa Raya Karim Khan pada Jumaat ini apabila mereka membuat pengundian sama ada mahu menamatkan perkhidmatannya.
Langkah ini menyusul selepas dakwaan salah laku seks yang dikemukakan terhadapnya oleh seorang peguam Malaysia, yang hanya dikenali secara umum sebagai Sarah.
Khan, 56, menafikan sebarang salah laku. Kontroversi ini tercetus hanya seminggu selepas Washington mengumumkan kempen diplomatik baharu untuk membubarkan ICC, yang disifatkan oleh mereka sebagai ancaman kepada kedaulatan AS.

"Mahkamah ini memang sudah sedia berada dalam keadaan tidak stabil," kata Mark Ellis, pengarah eksekutif Persatuan Peguam Antarabangsa yang juga pemerhati tegar ICC, kepada Reuters.
"Situasi Khan ini merupakan satu aspek berasingan tetapi amat penting yang menjejaskan kredibiliti mahkamah secara keseluruhannya," tambahnya.
Masa depan Khan sebagai ketua pendakwa raya kini di hujung tanduk selepas dokumen yang dilihat oleh Reuters menunjukkan pegawai yang memantau mahkamah itu percaya dia sepatutnya dipecat.
Sebarang keputusan untuk memecatnya memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 63 daripada 125 negara anggota ICC, dengan keputusan bakal ditentukan menerusi undian sulit dalam satu mesyuarat di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
Pasukan peguam Khan menolak dakwaan tersebut dan memberitahu Reuters bahawa dia "tidak pernah mempunyai sebarang hubungan seksual dalam apa jua bentuk" dengan wanita yang membuat tuduhan itu.

Peguamnya turut berhujah bahawa proses yang membawa kepada pengundian tersebut mempunyai kelemahan, selain menyifatkannya sebagai tidak sah, tidak adil dari segi prosedur dan tidak mempunyai asas bukti.
Mereka memetik dapatan panel hakim bebas yang merumuskan bahawa tidak ada bukti yang cukup untuk membuktikan dakwaan itu melampaui keraguan munasabah susulan siasatan PBB.
Keputusan memecat Khan berkemungkinan besar akan menghangatkan lagi perdebatan sama ada pertimbangan politik telah mempengaruhi tindakan ICC, terutamanya selepas dia memohon waran tangkap terhadap pegawai kanan Israel atas tuduhan jenayah perang di Gaza.
Israel, yang bukan anggota mahkamah tersebut, telah menolak waran berkenaan dan menganggapnya tidak berasas. Sekiranya Khan dipecat, ICC akan memulakan proses memilih ketua pendakwa raya baharu, yang dijangka hanya selesai awal tahun depan.
Sarah, yang baru-baru ini bercakap kepada CNN, merupakan satu-satunya warga Malaysia yang bekerja di ICC buat masa ini.
Sementara itu, FMT melaporkan bahawa isteri Khan, Shyamala Alagendra, juga merupakan seorang warga Malaysia dan seorang peguam jenayah antarabangsa yang dihormati.
Dilahirkan di Kuala Lumpur, Sarah melanjutkan pengajian undang-undang di United Kingdom sebelum menyertai ICC pada 2017. Dia kemudian berkahwin dengan warga Belanda dan membina kerjaya di salah sebuah institusi undang-undang paling terkemuka di dunia.
Pada Februari 2023, dia dilantik sebagai pembantu khas Khan yang bertanggungjawab menguruskan jadual perjalanan, penyusunan taklimat serta tugas-tugas lain yang memerlukannya berhubung rapat setiap hari dengan ketua pendakwa raya itu.
Sarah mendakwa Khan melakukan salah laku seks terhadapnya yang berlanjutan selama lebih sembilan bulan, termasuk ketika urusan kerja rasmi dan di tempat kerja.Dia mendakwa Khan menyentuhnya tanpa kerelaan, cuba menciumnya dan melakukan perbuatan seksual lain tanpa persetujuan.
Ketika bercakap kepada CNN, dia menegaskan bahawa jurang kuasa yang begitu besar antara mereka menyebabkan persetujuan secara jujur mustahil untuk berlaku.
"Sesuatu hal itu tidak mungkin berlaku atas dasar suka sama suka apabila wujud jurang kuasa sedemikian," katanya. Sarah turut menafikan dakwaan bahawa dia merupakan ejen bagi pihak Israel, sambil menegaskan bahawa dia telah melalui "pemeriksaan keselamatan tahap tertinggi" untuk bekerja di ICC.

"Jika wujud walau sedikit pun syak wasangka bahawa saya seorang ejen mana-mana negara, saya sudah tentu telah dipecat," katanya.
