Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
New York tiada kuasa tangkap Netanyahu, kata Mamdani
Diterbitkan:  Jul 22, 2026 5:05 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani berkata pada Selasa bahawa pejabatnya tidak mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, lalu menggesa pegawai Persekutuan AS untuk bertindak.

"Pentadbiran saya meneliti setiap laluan yang ada di bawah undang-undang bagi menentukan sama ada Bandar Raya New York boleh melaksanakan waran tangkap ICC sekiranya Benjamin Netanyahu datang ke sini," kata Mamdani dalam mesej video singkat yang dimuat naik ke media sosial.

"Jelas sekali kita tidak mempunyai bidang kuasa undang-undang secara bebas untuk menguatkuasakan waran ini. Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa itu dan saya menggesa mereka menyertai ICC serta melaksanakan waran berkenaan," katanya yang dipetik oleh AFP.

ICC yang beribu pejabat di The Hague, Belanda berkata pada 2024 bahawa terdapat alasan munasabah untuk mempercayai Netanyahu bertanggungjawab atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan serangan Israel di Gaza berikutan serangan merentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.

Presiden AS, Donald Trump pada Isnin berikrar Perdana Menteri Israel itu tidak akan berdepan penangkapan sekiranya dia menghadiri sidang puncak Perhimpunan Agung PBB pada September di New York.

Benjamin Netanyahu

Dalam video itu, Mamdani berkata "sesiapa sahaja – dengan mata, hati dan nurani mereka – patut menyedari kemusnahan yang dibawanya dan memahami bahawa dia sepatutnya dihadapkan ke mahkamah, seperti yang pernah dikatakannya.

"Saya bersetuju dengan ICC bahawa Benjamin Netanyahu perlu ditangkap dan dibicarakan atas jenayahnya, sama seperti sesiapa sahaja yang dituduh oleh ICC," katanya.

Pejabat Netanyahu menolak pendirian Mamdani dan menyifatkan ICC sebagai mahkamah berat sebelah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS