Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi dakwa bekas setpol Hamzah minta lima peratus untuk dana Bersatu
Diterbitkan:  Jul 22, 2026 5:42 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad meminta 'portion' lima peratus daripada nilai tender penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM381 juta sebagai dana politik bagi membangunkan parti Bersatu, termasuk untuk program bersama rakyat.

Pengarah Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB), Ismuni Johari, 58, berkata bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin itu memaklumkan perkara berkenaan kepada dia dan Pengarah Urusan NSB Wan Azhar Mohamed Yusof ketika pertemuan kira-kira 30 minit di pejabat Sayed Amir Muzzakkir di Yayasan Tanah Aku di Publika di Kuala Lumpur, pada Mei 2020.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata sebelum pertemuan berkenaan, Wan Azhar memaklumkan kepadanya bahawa Sayed Amir Muzzakkir mahu berjumpa di luar pada awal April 2020, namun dia tidak mengetahui tujuan pertemuan itu kerana tidak terlibat.

"Selepas perjumpaan itu, Wan Azhar memaklumkan bahawa Sayed Amir Muzzakkir meminta ‘portion’ lima peratus daripada nilai projek tender tersebut berjumlah RM381 juta bagi membantu mendapatkan tender tersebut.

"Saya hanya bersetuju ketika itu kerana saya dan Wan Azhar ingin mendapatkan tender projek tersebut. Wan Azhar juga memaklumkan syarikat NSB perlukan menyediakan satu perjanjian berkaitan 'portion' lima peratus itu," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM350,000.

Ismuni berkata pada mulanya, Wan Azhar memaklumkan bahawa Sayed Amir Muzzakkir meminta supaya bayaran lima peratus itu dibuat secara sekali gus selepas tiga hingga empat bulan dari tarikh Surat Setuju Terima, namun mereka tidak bersetuju kerana NSB tidak mempunyai dana mencukupi dan mencadangkan bayaran dibuat secara berjadual.

"Saya percaya kemungkinan besar syarikat NSB tidak akan memperoleh tender projek tersebut jika saya dan Wan Azhar menolak permintaan pembayaran ‘portion’ lima peratus daripada Sayed Amir Muzzakkir.

"Saya juga percaya Sayed Amir Muzzakkir membantu NSB mendapatkan tender projek tersebut kerana Sayed Amir Muzzakkir merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri iaitu Hamzah Zainudin ketika itu," katanya semasa pemeriksaaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi.

Dia juga memberitahu mahkamah bahawa pada 28 April 2020, Wan Azhar membawakan dokumen Project Advisory Agreement antara MKM Solutions Sdn Bhd dan NSB untuk ditandatanganinya sebagai saksi.

“Saya tidak tahu siapa yang menyediakan dokumen ini. Saya sahkan saya tidak kenal syarikat MKM Solutions tetapi saya percaya syarikat ini adalah berkaitan dengan Sayed Amir Muzzakkir," katanya.

Mengenai bayaran kepada tertuduh, Ismuni berkata dia dimaklumkan oleh Wan Azhar bahawa pembayaran dibuat tetapi tidak mengetahui jumlah dan perinciannya.

"Saya sahkan Wan Azhar yang menandatangani cek atau meluluskan pembayaran secara online. Saya tidak pernah menandatangani apa-apa cek atau meluluskan pembayaran tersebut.

"Saya juga tidak terlibat dalam penyediaan dokumen tender kerana semua urusan itu diuruskan oleh Wan Azhar kerana dia yang menguruskan operasi syarikat NSB," kata Ismuni.

Semasa pemeriksaan balas, Ismuni menolak cadangan peguam Yaacob Md Sam mewakili Sayed Amir Muzzakkir bahawa perjumpaan pada Mei 2020 tidak pernah berlaku, selain tidak bersetuju dengan cadangan bahawa keterangannya berhubung 'portion' lima peratus adalah tidak benar.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai upah membantu NSB memperoleh tender Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di Kuala Lumpur, masing-masing pada 4 petang, 4 Dis 2020, dan 3.30 petang, 16 Dis 2020.

Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS