Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa Pemuda Umno sedang mengedarkan video dakwaan salahlaku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memburuk-burukan bekas timbalan perdana menteri itu menjelang pilihanraya umum kali ini.

shamsul iskandar Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin mendakwa, pengedaran video tersebut sudah bermula sejak sebulan lalu di seluruh negara, termasuk di Sabah.

"AMK telah berjaya mengesan pengedaran video tersebut dan kita sudah memperolehi beberapa unit video tersebut.

"Video tersebut serupa dengan apa yang diedarkan oleh Pemuda Umno dalam pilihanraya umum lalu," katanya dalam sidang media bersama Pemuda PAS di ibu negara hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan barisan Exco kedua-dua pergerakan pemuda tersebut.

Shamsul Iskandar berkata, berdasarkan laporan awal yang diterima, pihaknya menganggarkan kira-kira 100,000 video terbabit telah diedarkan.

Dalam pilihanraya umum 1999, beliau mendakwa Pemuda Umno turut menggunakan taktik sama iaitu mengedarkan video tersebut, di kalangan pengundi Melayu.

Berikutan itu, beliau telah mengarahkan ahli dan penyokong AMK supaya merampas dan membuat tangkapan ke atas mana-mana pihak yang mengedarkan video terbabit.

Masalah kemiskinan

"Ini merupakan satu cara untuk menghalang pengedaran video tersebut daripada terus berleluasa," katanya lagi.

Dalam sidang media tersebut, Shamsul Iskandar menempelak pihak tertentu terutama pemimpin kerajaan yang membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan ke atas Anwar.

Katanya, dua tahun lalu, mereka menuduh Anwar sebagai ejen Yahudi, tetapi kini menuduhnya sebagai penyokong orang India.

"Umno dan Pemuda Umno telah membuat serangan peribadi ke atas Anwar dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail tetapi sebaliknya, cabaran Anwar untuk menurunkan harga minyak dan memberi pendidikan percuma apabila pembangkang memerintah, tidak berani dijawab oleh pemimpin kerajaan.

"Jadi kita berharap dalam kempen pilihanraya umum kali ini, ia dijalankan secara bermoral dan perbahasan dibuat secara ilmiah," katanya lagi.

Sementara itu, Salahuddin berkata, isu pembangunan yang sedang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) sudah tidak relevan lagi.

Katanya, masalah kemiskinan rakyat, baik orang Melayu dan Cina, sehingga hari ini tidak berjaya diselesaikan sehingga terpaksa memperkenalkan koridor pembangunan ekonomi.

"Saya tidak percaya rakyat akan termakan dengan umpan pembangunan yang sedang dijaja oleh pemimpin BN sekarang ini," katanya.