Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar jamin Kerajaan Perpaduan kekal stabil
Diterbitkan:  Jul 23, 2026 10:47 AM
Dikemaskini: 4:23 AM

Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal stabil dan kukuh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi serta keyakinan pelabur tidak terjejas, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dia berkata kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat adalah baik dan diterjemahkan menerusi kelancaran mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan secara konsisten walaupun bersaing di peringkat negeri.

“Di peringkat negeri mungkin ada isu tetapi di peringkat pusat belum lagi, dan mudah-mudahan insya-Allah, kekal selepas pilihan raya.

“Baru-baru ini, saya bermesyuarat Jemaah Menteri bersama-sama Mohamad Sabu, Anthony Loke, Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan lain seperti biasa... kita perlu jaga kestabilan ini supaya ekonomi negara jangan tergugat, dan pelabur terus datang,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Kekal PH di Senawang di Seremban malam tadi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, yang berlangsung 1 Ogos.

Turut hadir Mohamad, yang juga Presiden Amanah, serta Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim.

Hadir sama Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Menteri Besar Selangor merangkap Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari, kepimpinan dan calon gabungan itu yang bertanding pada PRN berkenaan.

Aminuddin kekal calon MB jika PH menang

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pentadbiran Negeri Sembilan, Anwar yang juga Pengerusi PH turut mengulangi pendirian untuk mengekalkan Aminuddin sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan tersebut diberi mandat semula oleh rakyat.

Dia berkata keputusan itu dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan, keikhlasan dan tadbir urus baik yang ditunjukkan sepanjang Aminuddin menerajui Negeri Sembilan.

“Saya tengok dari segi rekod prestasi, keikhlasan, akhlak dan peribadi, ini calon Menteri Besar kita yang terbaik.

“Negeri Sembilan ini dah elok, melaksanakan apa yang dikatakan... jadi, hentikan amalan ‘sakau’ dan jadikan negeri ini contoh pentadbiran yang baik,” katanya.

Pada PRN kali ini, PH bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri yang menyaksikan 16 calon daripada PKR, 11 mewakili DAP manakala Amanah, sembilan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian manakala undi awal pada 28 Julai ini

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS