Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal cabar Anwar: Dedah, tangkap orang 'sakau 'duit Tabung Haji
Diterbitkan:  Jul 23, 2026 11:48 AM
Dikemaskini: 4:12 AM

Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh menggesa supaya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menangkap dan mengheret “orang” yang dikatakan “sakau” duit Tabung Haji.

Ini kerana, katanya, rakyat berhak untuk tahu siapa yang sakau.

“Saya mohon kepada YAB PMX untuk tangkap dan dakwa orang yang dikatakan ‘sakau’ duit Tabung Haji tersebut

“Rakyat berhak untuk tahu siapa yang sakau. RCI terhadap Tabung Haji telah dilakukan, maka mohon dedah dan tangkap mereka yang sakau duit Tabung Haji tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Akmal yang juga adalah Adun Merlimau berkata isu “sakau” telah lama diperkatakan tetapi tiada dakwaan yang pernah dibuktikan.

“Sejak dari zaman PMX (Anwar) menjadi pembangkang isu Tabung Haji ini telah diperkatakan, tetapi sehingga hari ini tiada dakwaan telah dibuktikan kepada mana-mana individu.

“Kepada PMX, kami berharap untuk tangkap siapa yang sakau itu,” katanya lagi.

‘Kamu tak tahu lagi…’

Semalam, ketika berucap di Majlis Santai Petang bersama Perdana Menteri di Ampangan, Seremban, Anwar berkata, dia kesal kerana masih ada pihak tidak mengetahui perbuatan sakau yang terjadi sebelum ini.

Katanya, malah ada pihak yang marah apabila diberitahu mengenai perbuatan sakau termasuk dalam isu membabitkan Tabung Haji dan 1MDB.

“Saya tahulah cerita songlap ini (ada) orang cukup marah. Mana ada songlap, mana ada bukti?.. ehh bilion ringgit orang sakau kamu tak tahu lagi ya?

“Sebut saja Tabung Haji, 1MDB… sebut saja. Beli helikopter.. semua ada kisah,” katanya kepada wartawan.

Kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata, keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) kepada umum akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Dia berkata perkara itu susulan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Zulkifli Hasan

“Saya ingin tegaskan dakwaan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan menjual aset strategik TH adalah tidak benar dan palsu.

“Apa yang berlaku sebenarnya ialah operasi menyelamat (bail out) institusi kewangan umat Islam yang terkesan akibat kerakusan penyelewengan dana pendeposit sebelum 2018,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Noor Inayah Ya'akub mengenai dakwaan bekas ketua setiausaha perbendaharaan menjual aset strategik TH pada sesi soal jawab di Dewan Negara, semalam.

Dia berkata penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) merupakan keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.

Zulkifli berkata Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia telah mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dengan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun itu.

Pada masa itu, dia berkata kira-kira RM6 bilion turut dikeluarkan pendeposit dalam tempoh singkat susulan krisis keyakinan manakala usaha mendapatkan pinjaman siap sedia (standby loan) gagal.

Zulkifli berkata kerajaan berisiko menanggung liabiliti kira-kira RM74.5 bilion sekiranya TH runtuh kerana simpanan di institusi itu dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Sehubungan dengan itu, dia berkata keputusan menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila deposit institusi itu meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.

Kadar agihan keuntungan juga, menurutnya meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus bagi 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun manakala kos haji kekal selama tiga tahun berturut-turut bermula dari 2024 meskipun berlaku inflasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS