Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Laporan RCI Tabung Haji sedia didedah, tunggu keputusan kabinet’
Diterbitkan:  Jul 23, 2026 12:22 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Kerajaan sedia mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, laporan itu mungkin diterbitkan hari ini jika kelulusan Jemaah Menteri tidak diperlukan dan dia akan meneliti bersama Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, bagi menentukan berhubung prosedur menerbitkan laporan RCI kepada umum.

"Jika tidak perlu, saya akan terbitkannya hari ini.

“Kalau perlu, saya tunggu Rabu (depan selepas mesyuarat Kabinet) kerana rakyat harus tahu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Global Ekonomi Manusiawi 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata keputusan untuk menerbitkan laporan itu mengambil kira kedudukan TH yang telah bertapak baik dalam proses pemulihan ketika ini dan rakyat berhak untuk mengetahui kandungan laporan tersebut.

Katanya, penangguhan pendedahan laporan itu sebelum ini dibuat bagi mengelakkan implikasi terhadap keyakinan penyimpan memandangkan TH masih dalam proses pemulihan.

“Kebimbangan kita pada waktu itu adalah penarikan keluar simpanan secara beramai-ramai oleh penyimpan.

“Kita letak Tan Sri Rashid Hussain (Pengerusi TH) dan pasukan baharu untuk membersihkan (perkara yang tidak kena) berdasarkan pandangan dan teguran laporan suruhanjaya. Kalau kita lakukan terlalu awal, mungkin menimbulkan keresahan daripada pencarum dan penyimpan.

“Sekarang, saya rasa TH telah bertapak baik dan saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan atau menyebarkan, sebab laporan ini ada hak rakyat untuk mengetahui,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata, keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) kepada umum akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Zulkifli Hasan

Dia berkata perkara itu susulan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“Saya ingin tegaskan dakwaan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan menjual aset strategik TH adalah tidak benar dan palsu.

“Apa yang berlaku sebenarnya ialah operasi menyelamat (bail out) institusi kewangan umat Islam yang terkesan akibat kerakusan penyelewengan dana pendeposit sebelum 2018,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Noor Inayah Ya'akub mengenai dakwaan bekas ketua setiausaha perbendaharaan menjual aset strategik TH pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Rashid dan pasukannya telah melakukan tugas dengan cemerlang, menguruskan TH dengan baik, dan menjadinya institusi yang telus dan diaudit dengan baik.

"Apabila perkara ini (laporan) dibentangkan kepada kami, kami telah memutuskan untuk menerbitkannya, tetapi kemudian kami mengambil pendekatan berhati-hati kerana ada ketikanya terdapat keperluan untuk mengubah pengurusan dan membetulkan beberapa perkara yang tidak kena.

“Dan saya fikir sudah tentunya ada berlaku pelanggaran peraturan dan saya tidak boleh mengatakan (ia) rasuah, tetapi terdapat beberapa penyalahgunaan dan kebimbangan kami pada masa itu adalah untuk menguruskan simpanan TH,” kata nya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS