Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi dakwa Anwar simpan laporan RCI TH demi jaga hati Umno
Diterbitkan:  Jul 23, 2026 5:36 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim melengahkan pendedahan laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) demi menjaga hati Umno. Dia mendakwa penemuan laporan itu bakal membongkar kegagalan parti berkenaan mengurus dana simpanan jemaah haji itu.

Menurut pemimpin bersama Bersama itu, laporan berkenaan sepatutnya didedahkan pada 2023 selepas ia disiapkan kerana mengandungi dapatan berkepentingan awam yang wajib diketahui umum.

Rafizi, yang ketika itu anggota kabinet Anwar, mendakwa usaha mengumumkan laporan berkenaan ditangguhkan kerana perdana menteri mahu menjaga hubungan baik dengan Umno.

"Pada ketika itu, Anwar sangat berhati-hati untuk menjaga hati Umno, maka keputusan dibuat untuk menanam laporan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan jalan buntu politik selepas pilihan raya umum 2022, Anwar menjadi perdana menteri melalui kerjasama dengan musuh tradisi PH iaitu Umno. Kerjasama yang goyah itu mula teruji selepas BN memutuskan untuk bertanding menentang PH dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan.

Awal hari ini, Anwar memberi bayangan bahawa laporan RCI itu akan didedahkan sama ada hari ini atau Rabu depan selepas mesyuarat kabinet.

Dia memberitahu bahawa kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk mengumumkan laporan tersebut, namun ia ditangguhkan bagi memberi ruang kepada pelan pemulihan serta reformasi pengurusan TH berjalan tanpa menjejaskan keyakinan awam.

Walau bagaimanapun, Rafizi mendakwa laporan itu ditahan kerana ia bakal membongkar bagaimana TH rosak di bawah pentadbiran Umno, sekali gus mendedahkan kegagalan tadbir urus dana berkenaan.

“Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji adalah terperinci dan saya yakin ia akan menunjukkan bagaimana institusi itu rosak di bawah pentadbiran Umno.

“Ia juga membantu rakyat menghadam bagaimana sepak terajang politik, melalui tindakan suci mensuci terutamanya oleh PAS, membawa kekeliruan di kalangan rakyat mengenai apa yang telah terjadi di TH,” katanya.

Menurut Rafizi, walaupun pentadbiran PH menyelamatkan institusi kewangan itu pada 2019, kesannya tetap parah apabila puluhan bilion duit cukai rakya digunakan bagi menampung kerugian pelaburan yang dialami selama lebih sedekad.

Dia turut mendakwa TH memerlukan masa berdekad lagi untuk kukuh sepenuhnya manakala rakyat terus menanggung beban hutangnya.

Rafizi juga membayangkan bahawa masa pendedahan laporan itu bukan satu kebetulan. Dia menjelaskan bahawa isu berkenaan telah dibangkitkan dalam ucapan kempen pilihan raya negeri Johor dua minggu lalu bagi menunjukkan bagaimana kompromi politik akhirnya boleh memakan diri.

“Saya adalah orang yang paling gembira apabila laporan RCI Tabung Haji ini didedahkan kerana ia membuktikan semua pendedahan yang saya telah buat antara 2015 hingga 2018 mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah benar.

“Saya lebih gembira kalau ia didedahkan dengan niat untuk membawa kebenaran seawal 2023 lagi, namun saya berdoa biarlah ada pengajaran kepada rakyat Malaysia dari episod-episod ini,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob

Pada 14 Julai 2021, timbalan perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kabinet bersetuju menubuhkan RCI untuk menyiasat TH.

Siasatan itu ditugaskan untuk meneliti dapatan audit oleh syarikat perunding PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger merangkumi tempoh dari 2014 hingga 2020.

Siasatan tersebut tidak merangkumi pelan pemulihan dan penstrukturan semula TH yang sedang dilaksanakan ketika itu.

Sejak itu, kerajaan menyimpan rapi laporan berkenaan, manakala desakan berulang kali supaya dapatannya didedahkan kepada umum hanya menerima jawapan umum atau ditolak sepenuhnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS