Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
E-Fishery: SPRM mula siasatan, 10 saksi dirakam percakapan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM200 juta dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, dengan 10 saksi sudah dirakam keterangan setakat semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata rakaman percakapan saksi bermula pada Selasa dan hingga semalam, kesemua saksi terdiri daripada pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan (MOF) yang terlibat dalam proses membuat keputusan telah dipanggil membantu siasatan.

"Rakaman percakapan daripada kesemua 10 orang saksi ini telah dirakam dan dimuktamadkan. Langkah tersebut adalah di peringkat awalan penyiasatan.

"Pegawai penyiasat sedang mengkaji keterangan tersebut serta meneliti dokumen yang diambil. Pihak kami akan melaksanakan jejak aliran kewangan menerusi penelitian laporan transaksi tunai (CTR) dan laporan transaksi mencurigakan (STR)," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi SPRM hari ini.

Beliau berkata lebih ramai individu dijangka dipanggil membantu siasatan termasuk ahli Jawatankuasa Kewangan dan semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terlibat.

Menurutnya, dokumen yang sedang diteliti ialah kertas cadangan awal, kertas cadangan akhir, laporan lawatan tapak, minit mesyuarat berkaitan eFishery, laporan ketekunan wajar, dokumen tatacara pelaburan serta dokumen kewangan KWAP.

"Proses siasatan baru bermula dan ia masih berjalan. Ia masih terlalu awal untuk pihak SPRM memberikan maklum balas setakat ini," katanya.

Abd Halim berkata beberapa pihak di luar negara turut dikenal pasti bagi membantu siasatan dan SPRM akan mengemukakan permohonanBantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA) melalui Jabatan Peguam Negara kepada pihak berkuasa luar negara bagi mendapatkan keterangan daripada saksi terlibat.

Beliau turut memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang dan masa bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh memandangkan siasatan kes seumpama itu mengambil sedikit masa.

"Saya telah mengarahkan pasukan siasatan untuk melakukan siasatan secara terperinci dari segala aspek, secara telus, adil serta secara menyeluruh. Kami akan pastikan dalam proses penyiasatan itu, kita akan melakukan segala usaha untuk mendapatkan bukti," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata satu pasukan khas siasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat isu berkenaan, diketuai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan dan dianggotai pegawai kanan daripada Bahagian Siasatan, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan serta Bahagian Penyiasatan Tatakelola.

Beliau berkata siasatan secara rasmi telah dimulakan pada 17 Julai, sebelum pegawai penyiasat memasuki premis KWAP pada 20 Julai bagi memulakan proses siasatan dan mendapatkan dokumen berkaitan.

"Fokus siasatan SPRM adalah menyeluruh. Ia merangkumi penyiasatan berhubung kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan selain meneliti aspek tatakelola termasuk prosedur kewangan, perundangan serta proses membuat keputusan berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan KWAP menjadi mangsa penipuan terancang dalam pelaburan berkenaan susulan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat Indonesia itu.

Menurut MOF, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil langkah tegas termasuk memulakan tindakan undang-undang, meneruskan usaha mendapatkan semula dana, menjalankan semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan.

Media sebelum ini melaporkan eFishery sedang disiasat susulan dakwaan penyelewengan kewangan, termasuk manipulasi penyata kewangan sehingga hasil syarikat dilaporkan lebih tinggi daripada jumlah sebenar.

Menurut DealStreetAsia, KWAP melabur kira-kira USD47.7 juta (RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Siri D eFishery pada 2023.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS