PANDUANKINI | Konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kini memasuki fasa baru yang berpotensi meluaskan ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk memberi kesan kepada keselamatan pelayaran di Laut Merah susulan penglibatan kumpulan Houthi di Yaman.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan rantaian bekalan tenaga global, khususnya selepas ketegangan berterusan di Selat Hormuz yang menjadi salah satu laluan utama perdagangan minyak dunia.
Tumpuan kini turut beralih kepada Selat Bab el-Mandeb, laluan strategik yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan Laut Arab, selepas Houthi meningkatkan ancaman terhadap kapal-kapal komersial yang melalui kawasan berkenaan.
Siapa kumpulan Houthi?
Houthi ialah sebuah gerakan politik dan bersenjata yang berasal dari kawasan pergunungan Saada di utara Yaman.
Gerakan ini berkembang daripada gerakan kebangkitan Zaydi yang diasaskan pada awal 1990-an dan kemudian dipimpin Hussein Badreddin al-Houthi sehingga berkembang menjadi kumpulan bersenjata.
Konflik antara Houthi dan kerajaan Yaman meningkat pada awal 2000-an sebelum kumpulan itu berjaya menguasai Sanaa, ibu negara Yaman, pada 2014.

Pengambilalihan itu menyebabkan kerajaan pimpinan Presiden Abdrabbuh Mansur Hadi kehilangan kawalan terhadap ibu negara itu sebelum melarikan diri ke Aden dan kemudian mendapat sokongan ketenteraan daripada gabungan pimpinan Arab Saudi pada 2015.
Houthi sering dikaitkan dengan Iran kerana menerima sokongan ketenteraan, kewangan dan teknologi daripada Tehran.
Dalam konflik Israel-Hamas, Houthi turut menyatakan sokongan kepada Hamas dan melancarkan serangan terhadap kapal-kapal yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel atau sekutunya.
Apakah kepentingan Selat Bab el-Mandeb?
Selat Bab el-Mandeb merupakan salah satu laluan maritim paling strategik di dunia yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden, sebelum membuka laluan ke Laut Arab dan Lautan Hindi.
Pada bahagian paling sempit, selat itu hanya kira-kira 29 kilometer lebar, menjadikannya antara laluan sempit (maritime chokepoint) paling penting bagi perdagangan antarabangsa.
Laluan ini menjadi penghubung utama bagi penghantaran minyak mentah, gas asli cecair (LNG) serta pelbagai barangan dagangan antara Asia Barat, Asia dan Eropah melalui Terusan Suez.
Menurut majalah Time, Bab el-Mandeb mempunyai kepentingan strategik yang setanding dengan Selat Hormuz kerana kedua-duanya merupakan laluan sempit yang kritikal kepada perdagangan dan bekalan tenaga global.

Susulan ancaman keselamatan di Laut Merah, banyak syarikat perkapalan kini memilih mengelak laluan melalui Bab el-Mandeb dan Terusan Suez dengan belayar mengelilingi Tanjung Harapan di Afrika Selatan. Walaupun laluan alternatif itu lebih selamat, ia memanjangkan tempoh pelayaran, meningkatkan penggunaan bahan api, kos pengangkutan serta premium insurans.
Sejak Mac lalu, Reuters melaporkan Arab Saudi mengeksport kira-kira lima juta tong minyak sehari melalui pantai baratnya, iaitu lebih dua kali ganda berbanding paras sebelum perang.
Sekitar 80 peratus daripada penghantaran itu melalui Selat Bab al-Mandeb, menurut firma analitik Kpler.
Namun situasi semasa memaksa laluan perdagangan minyak global dirombak sekali lagi.
Agensi berita antarabangsa itu melaporkan banyak kapal yang membawa minyak mentah Arab Saudi ke Asia kini memilih untuk melalui Terusan Suez ke Laut Mediterranean sebelum mengelilingi benua Afrika bagi meneruskan perjalanan.
Namun masalah logistik menjadi kekangan kepada kapal paling besar dengan muatan penuh tidak boleh melaluinya kerana sekatan kedalaman.
Sebahagian muatan perlu dipindahkan ke saluran paip di selatan terusan sebelum dimuatkan semula berhampiran Alexandria bagi meneruskan pelayaran.
Kerana mengelak Selat Bab al-Mandeb, tempoh pelayaran bertambah sekurang-kurangnya empat minggu berbanding tempoh perjalanan biasa kapal tangki minyak, menjadi masa pelayaran lebih dua kali ganda, selain peningkatan kos pengangkutan dan premium insurans.
Gangguan dalam sektor penghantaran minyak mentah ini dijangka menjadi tamparan lebih hebat kepada sektor penapisan minyak global yang kini menjadi titik paling lemah dalam sistem tenaga dunia.
Apa yang sedang berlaku di Bab el-Mandeb?
Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) mengesahkan sebuah kapal tangki di Laut Merah terkena projektil yang tidak dikenal pasti sehingga menyebabkan kebakaran di atas kapal.

Agensi Berita Jerman (dpa) memetik UKMTO menyatakan nakhoda kapal itu melaporkan kejadian berkenaan berlaku kira-kira 70 batu nautika atau hampir 130 kilometer di barat daya Al-Shuqaiq, Arab Saudi.
Ketika siasatan lanjut insiden itu sedang dijalankan, kumpulan Houthi dilaporkan mendakwa mereka menyerang dua kapal tangki minyak Arab Saudi yang melanggar "sekatan" yang diisytiharkannya di Laut Merah.
Kumpulan itu memaklumkan peluru berpandu dan dron digunakan dalam serangan berkenaan. Kebakaran berlaku di kedua-dua kapal, manakala kira-kira 10 kapal lain terpaksa berpatah balik. Namun belum dipastikan jika kedua-dua laporan itu merujuk kepada kejadian yang sama.
Apa reaksi pemimpin dunia?
Setakat ini AS dan Pakistan tampil mengecam susulan ancaman Houthi ke atas laluan kapal-kapal komersial di Laut Merah.
Setiausaha AS, Marco Rubio, menyalahkan Iran atas sekatan laut yang dikenakan oleh kumpulan pemberontak Houthi terhadap Arab Saudi, namun berharap keadaan itu dapat diredakan, lapor AP News.
Houthi dilaporkan banyak dipengaruhi oleh Iran, tetapi mereka tidak berada di bawah arahan langsung pemimpin tertinggi Iran, tidak seperti kumpulan militan Hezbollah di Lubnan dan beberapa militan Iraq yang disokong Iran.
“Apa-apa yang menyekat perkapalan melalui Laut Merah akan menjadi masalah atas sebab yang sama (seperti) Selat Hormuz juga menjadi isu,” kata Rubio di luar acara sidang kemuncak serantau di Filipina.
Dia dipetik sebagai berkata, AS sedang memantau rapat situasi itu dan telah beberapa kali menghubungi Arab Saudi sepanjang minggu lalu berhubung ancaman tersebut.
“Ia bukan ancaman baru, tetapi ia adalah ancaman yang pernah berlaku sebelum ini. Namun, perkara utama dalam isu ini sekali lagi ialah hakikat bahawa Iran berada di tengah-tengahnya. Jika bercakap mengenai pihak yang menjadi pencetus masalah di rantau ini, ia adalah Iran,” kata Rubio lagi.
Laporan itu turut memetik Pakistan turut mengecam ancaman Houthi dan menyifatkan tindakan tersebut melanggar prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa yang ditetapkan.
Kementerian Luar Pakistan semalam memberi amaran bahawa tindakan tersebut “mengancam keselamatan serantau, menjejaskan kebebasan pelayaran, mencabar aturan maritim berasaskan peraturan serta membahayakan kelancaran aliran perdagangan global yang tidak terganggu.”
Islamabad menegaskan mereka amat bimbang berhubung laporan mengenai ancaman yang ditujukan terhadap kapal-kapal yang terlibat dalam perdagangan komersial sah dengan kerajaan (Arab Saudi).
Kementerian itu memberi amaran bahawa “sebarang tindakan bermusuhan terhadap kapal berbendera Pakistan atau kepentingan maritim Pakistan akan dianggap sebagai ancaman serius terhadap keselamatan negara dan kepentingan kedaulatan Pakistan.”
Ancam pasaran minyak global
Perluasan konflik ke Laut Merah dilihat bukan sahaja menggagalkan usaha pemulihan aliran bekalan tenaga, bahkan menimbulkan satu lagi ancaman besar kepada pasaran minyak global.
Selepas sekitar dua minggu selepas konflik baru antara AS dan Iran tercetus semula, ketegangan di Asia Barat meningkat mendadak di sebalik tindakan kumpulan Houthi di Selat Bab al-Mandeb.
Susulan perkembangan itu, harga minyak dilaporkan meningkat lebih 1.5 peratus ke paras tertinggi dalam tempoh lebih enam minggu selepas AS melancarkan serangan ke atas Iran .
Reuters melaporkan niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$1.93, atau dua peratus, kepada AS$96, paras tertinggi sejak 8 Jun, semalam. Pada sesi sebelumnya, ia ditutup tinggi lebih AS$3 kepada AS$94.07, hampir mencecah paras tertinggi selama enam minggu.
Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS pula melonjak AS$1.44, atau 1.7 peratus, kepada AS$88.27 selepas meningkat hampir tiga peratus, pada kelmarin.
Bagi bekalan di AS, stok minyak mentah meningkat sebanyak dua juta tong minggu lepas, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga, berikutan penurunan operasi loji penapis dan penurunan eksport minyak mentah ketika import meningkat.
Penganalisis dalam tinjauan Reuters sebelum ini mengunjurkan penurunan sebanyak 1.1 juta tong.
