Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perselisihan PAS-Umno selama ini hanya isu khilaf, kata Hadi
Diterbitkan:  Jul 24, 2026 12:23 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

PAS hari ini memperteguh iltizam parti itu dan PN untuk bekerjasama dengan BN sebagai persefahaman yang tulen dan tidak merugikan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bahkan berkata ia bukanlah persefahaman yang berbentuk sandiwara. Tambahan pula, tambahnya, semua gabungan terbabit berbelanja untuk memastikan kerjasama tersebut berhasil.

“Kerjasama (tersebut) bukan wayang.. (sebab) habis duit. Orang-orang PAS pergi (kempen) berbelanja sendiri, sepenuh tenaga. Termasuk orang Umno juga habis duit…

“Wayang apa itu?” katanya kepada media di Marang, Terengganu hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa kerjasama PN – yang kini dikuasai PAS – dan BN dalam PRN Negeri Sembilan adalah wayang politik.

Mengulas mengenai sejarah kerjasama kedua-dua parti yang sering berakhir dengan ‘penceraian’ Abdul Hadi berpendapat ia adalah perkara biasa dan hanya melibatkan isu yang kecil.

Justeru bagi Abdul Hadi, ia tidak melibatkan aspek utama.

“Biasa berlaku khilaf (perselisihan faham) perkara cabang, bukan dasar. (Bagi) Perkara dasar tak ada khilaf antara PAS dan Umno.

“(Perjuangan) PAS berdasarkan Islam, Umno (pula) berdasarkan Melayu, Melayu (dan) Islam ini tak berpisah.

“Orang Cina (jika) masuk Islam, kata masuk Melayu; India masuk Melayu. Melayu itu Islam.

“Kita berbalah pendekatan sahaja, dasar tak (berbalah),” katanya.

Untuk rekod, PN diketuai oleh Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Abdul Hadi pula tidak mempunyai sebarang jawatan dalam gabungan berkenaan.

PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos ini menyaksikan PAS-PN bekerjasama secara terbuka dengan BN selepas ‘formula’ tidak rasmi yang dilaksanakan di Johor sebelum itu menunjukkan hasil yang besar kepada BN.

Jika di Johor PAS hanya bertembung dengan Umno-BN di 11 kerusi (selain 22 kerusi lagi yang diwakili Bersatu, Parti Rakyat India Malaysia dan Pejuang), di Negeri Sembilan kali ini tidak berlaku pertembungan kedua-dua parti.

Daripada 36 kerusi yang ada di DUN Negeri Sembilan, BN bertanding di 25 kerusi manakala baki 11 lagi diwakili PN.

PH pula meletakkan calon di semua kerusi DUN.

Abdul Hadi berkata, dia berharap kerjasama yang terjalin di antara Umno dan PAS kali akan berpanjangan.

Alasannya, kata hadi: “Nak selamatkan negara, insya-Allah.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS