Malaysia mempunyai tempoh dua tahun selepas ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) untuk menangani kelompongan undang-undang berkaitan buruh paksa dan lebihan kapasiti industri, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.
Dia berkata Kementerian Sumber Manusia telah dimaklumkan mengenai pindaan yang diperlukan dan akan mengambil langkah sewajarnya selepas ART dimuktamadkan.
"Dua tahun (tempoh diberi) bukan immediate (serta-merta) sebab perjanjian sudah ditandatangani. Sebaik kita sudah meratifikasi elemen terbabit, maknanya dia bagi dua tahun untuk betulkan undang-undang yang kita tidak ada.
"Kalau ada undang-undang (itu) dalam negara, maknanya kalau anda mengambil pekerja asing tanpa permit (lalu) boleh masuk penjara, kena denda. Kalau anda gunakan pendatang asing tak ada kelulusan duduk di ladang, kena tangkap dan produk anda tak boleh jual,,” katanya seperti dipetik BH Online selepas mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) mengumumkan tarif baru akan dikenakan terhadap 60 rakan dagang “atas apa yang disifatkannya sebagai kegagalan melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan mengimport barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa”.
Malaysia merupakan antara 17 negara yang dikenakan tarif tambahan 10 peratus, manakala beberapa rakan dagang lain berdepan tarif tambahan sehingga 12.5 peratus.
Menurut USTR, kadar 10 peratus itu dikenakan terhadap ekonomi yang mempunyai komitmen untuk melarang buruh paksa atau menyekat pengimportan barangan yang dikaitkan dengan buruh paksa.
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago sebelum ini memberi amaran Malaysia berisiko terdedah kepada tarif baru itu jika pentadbiran Madani tidak mengambil tindakan terhadap aduan berkaitan buruh paksa di negara ini.

Mengulas lanjut, Johari menjelaskan peruntukan undang-undang sedia ada di Malaysia bagi mencegah buruh paksa masih tidak mencukupi.
“Mereka sudah lakukan siasatan ke atas isu buruh paksa dan kita akan dikenakan (tarif) 10 peratus berbanding negara lain yang dikenakan dalam 12.5 peratus.
"Jadi mana-mana syarikat atau industri yang ambil buruh tidak mengikut organisasi buruh antarabangsa contohnya dan terjebak dalam buruk paksa, dia boleh dikenakan tindakan kerana kita ada undang-undang.
"Tetapi sebab kita tidak ada undang-undang untuk melindungi negara lain yang guna buruh paksa, kemudian bawa masuk barang dalam negara kita sebagai input dan kita proses barang itu jadi produk Malaysia untuk eksport.
"Jadi mereka dapati sebahagian komponen itu adalah (membabitkan) buruh paksa, yang itu kita kena sebab kita tidak ada undang-undang dan tidak ada mekanisme. Jadi sementara kita nak buat undang-undang ini, dia kenakan kita 10 peratus," katanya.
Bagaimanapun, dia berkata Putrajaya masih belum dimaklumkan mengenai kadar tarif yang bakal dikenakan susulan siasatan berasingan berkaitan lebihan kapasiti yang sedang dijalankan mengikut Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974.
Menurut Johari, tarif 10 peratus itu berkaitan buruh paksa dan pihaknya masih belum mengetahui kadar yang akan dikenakan, jika ada, mengikut siasatan lebihan kapasiti.
Sebagai reaksi terhadap pengumuman tarif terbaru itu, analisis Reuters mencadangkan langkah tersebut merupakan sebahagian daripada strategi pentadbiran Trump untuk memintas keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan tarif terdahulu yang dikenakan tahun lalu.
Sebagai tindak balas terhadap keputusan mahkamah itu pada Februari, Trump mengenakan tarif global menyeluruh sebanyak 10 peratus selama 150 hari. Langkah itu tamat semalam, dengan tarif baru berkuat kuasa serta-merta selepasnya.
