Tempoh berkempen selama 13 hari bagi pilihanraya umum kali ini mencukupi, yang turut mengambilkira aspek keselamatan dan ketenteraman awam, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

"Kalau kita nak panjangkan tempoh berkempen, negara kita ini banyak perkara sensitif yang mungkin boleh dimanipulasikan oleh mana-mana pihak," katanya.

Penamaan calon ditetapkan pada 24 Februari dan pengundian pada 8 Mac. Tempoh kempen kali ini lebih panjang berbanding hanya lapan hari ketika pilihanraya umum 2004.

Bercakap kepada pemberita selepas mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian, Abdul Rashid berkata 30 parti politik berdaftar setakat ini untuk bertanding dalam pilihanraya umum ke-12.

Bernama melaporkan, jumlah pengundi kali ini juga, kata Abdul Rashid, bertambah kira-kira 600,000 kepada 10,922,139 orang. Ianya termasuk 221,085 pengundi pos.

Mereka layak mengundi di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, kecuali di Sarawak. Tempoh DUN Sarawak hanya tamat pada tahun 2011.

Abdul Rashid berharap para pengundi akan melaksanakan hak dan kebebasan mereka untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan dalam pilihanraya kali ini.

Beliau berharap pilihan raya itu dapat dijalankan secara bebas dan adil dengan mengambil kira faktor keselamatan.

"Kita nak terus pertahankan rekod pilihanraya diadakan secara aman dan damai di negara ini seperti yang dicapai pada 11 pilihanraya umum lalu," katanya.

Untuk mengendalikan pilihanraya umum kali ini, SPR, katanya, akan membelanjakan RM200 juta, dengan 149,000 kakitangan pilihanraya serta 50,000 kakitangan kasual, termasuk juruterbang helikopter dan jurumudi bot.