Parti-parti pembangkang berjaya dalam kempen mereka untuk menentang Barisan Nasional (BN) dengan format ‘satu lawan satu’ di hampir semua tempat, kata Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya boleh kata, 99.9 peratus kerusi akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu," kata ketua penerangan PKR Tian Chua di sidang media hari ini.

nurul izzah 050407 talking

Ditanya sama ada Nurul Izzah Anwar akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini, Tian berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk kepemimpinan parti.

Sebelum ini, anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu disebut-sebut bakal bertanding di parlimen Lembah Pantai atau Wangsa Maju.

Beliau juga berkata, PKR sudah mengenal pasti antara 80 dan 90 peratus calon dan tempat untuk parti itu bertanding.

"Parti akan menyelesaikan secara keseluruhannya dalam tempoh dua atau tiga hari lagi," katanya.

tian chua 02 Mengenai isu kempen PKR, Tian berkata, ia mengandungi lima perkara iaitu membela rakyat, menurunkan harga minyak, pendidikan percuma, polis yang profesional dan badan kehakiman yang bebas.

"Parti telah meminta calon-calon PKR memberikan penekanan kepada isu-isu tersebut dalam kempen pilihanraya mereka kali ini," katanya lagi.

Tian Chua berkata, walaupun Anwar tidak boleh bertanding dalam pilihanraya umum kali ini, ketua Umum PKR itu akan mengarah dan memantau jentera pilihanraya.

Katanya, Anwar juga akan menjelajah ke kawasan terpilih untuk membantu jentera kempen PKR dan parti pembangkang lain.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 24 Februari sebagai hari penamaan calon dan 8 Mac hari mengundi.