Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke selar tuduhan campur tangan adat, dakwa Umno punca krisis politik
Diterbitkan:  Jul 27, 2026 12:18 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

PRN Negeri Sembilan l Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengecam saingan politik partinya kerana menuduhnya campur tangan dalam institusi adat perpatih Negeri Sembilan.

Menurut penyandang Adun Chennah itu, khabar angin disebarkan bahawa dia terlibat dalam krisis diraja di Negeri Sembilan dengan membiayai pihak lawan kepada Undang Sungai Ujong yang dipertikaikan, Mubarak Thahak.

Loke berkata dia turut dituduh terlibat dalam pergolakan yang sedang berlaku dalam institusi diraja Jelebu.

Menafikan tuduhan tersebut, menteri pengangkutan itu menganggap dakwaan berkenaan sebagai "tidak masuk akal" dan menegaskan bahawa dia sentiasa menghormati pemerintah Negeri Sembilan, para undang, serta pembesar adat.

"Ada kata saya bagi duit kepada orang untuk kacau Datuk Undang Sungai Ujong. Ini cakap-cakap yang memang tak masuk akal langsung. Tetapi ada orang percaya.

“Fitnah macam ini, orang percaya. Sebab dia fitnah ini lebih senang dipercayai daripada kenyataan. Orang ingat betul. Orang ingat betul. Tetapi kita fikir-fikirkan. Apa kebaikan untuk saya untuk mencampuri urusan adat? Adat tak ada kena mengena dengan saya.

“Urusan adat itu adalah urusan di kalangan sistem adat. Apa manfaat kepada saya untuk mencampuri, untuk mengganggu sistem adat? Itu kita hormat. Kita hormat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang yang empat, Tunku Besar Tampin,” katanya kepada hadirin.

Loke menyampaikan ucapan tersebut kepada sekumpulan pengundi di Kampung Sungai Rotan, salah satu kawasan majoriti Melayu di kerusi Chennah yang dipertahankannya daripada cabaran calon BN, John Siow Kong Choon.

BN menuduh PH negeri — dengan DAP sebagai salah satu parti komponen — gagal mengendalikan krisis diraja Negeri Sembilan sehingga menyebabkannya semakin meruncing dan membawa kepada tindakan empat undang negeri menggunakan kuasa mereka untuk memecat Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Munawir.

Krisis yang semakin meruncing itu turut menyaksikan penyebaran khabar angin bahawa Loke didakwa menyalurkan sejumlah besar wang kepada entiti yang dikaitkan dengan pembesar Sungai Ujong yang mahu menggulingkan Mubarak.

Setiausaha politik menteri berkenaan telah membuat laporan polis terhadap bekas pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin berhubung hantaran media sosialnya yang membuat tohmahan tersebut.

Difahamkan, pergolakan turut berlaku di Jelebu antara undang kawasan itu, Maarof Mat Rashad dan sekumpulan Dato' Lembaga Adat wilayah berkenaan.

Loke percaya tuduhan tersebut dilemparkan terhadap dirinya an DAP kerana mereka menjadi sasaran mudah bagi saingan politik.

“Sebab, paling senang salahkan DAP. Paling senang salahkan saya. Orang lain, dia tak salah.

“Padahal, yang menyebabkan krisis berlaku ini sebab ada 14 Asun daripada Umno, tarik sokongan yang diketuai oleh Datuk Jalal (Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias).

“Kalau tidak tarik sokongan, kita selesaikan bersama, tak timbul hari ini perlu pilihan raya. Kita dah bekerja sama, tiga tahun lalu. Dan bentuk kerajaan negeri yang baik, yang stabil, yang boleh laksanakan kerja, tak menjadi masalah.

“Tetapi, tiba-tiba mereka menarik sokongan. Mereka mungkin lihat ada peluang, dia (Jalaluddin) naik sebagai menteri besar. Dia tarik sokongan, bergabung dengan lima Adun daripada Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Chennah merupakan kerusi campuran dengan seramai 14,422 pengundi, dengan 48.49 peratus ialah orang Melayu, diikuti Cina (42.57 peratus), India (dua peratus), dan lain-lain (6.93 peratus).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS