Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kerajaan dan pihak polis membayar ganti rugi berjumlah RM195,000 kepada 13 individu atas penahanan tidak sah semasa perhimpunan 'nyalaan lilin' bagi mengenang mangsa Covid-19 pada 2021, dengan setiap individu menerima RM15,000.
Hakim Anand Ponnudurai dalam penghakimannya pagi ini memutuskan penahanan pada 19 Ogos tahun itu, apabila semua individu terbabit dibawa dari Dataran Merdeka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sebagai tidak sah.
Susulan itu, hakim turut memutuskan bahawa penahanan individu berkenaan di ibu pejabat polis juga sebagai tidak sah.
“Berdasarkan prinsip, apabila sesuatu penahanan itu tidak sah, sebarang perampasan kebebasan seterusnya yang bergantung secara langsung kepada penahanan itu secara amnya tidak boleh diwajarkan hanya kerana langkah penyiasatan atau pentadbiran dijalankan selepas itu.
“Oleh itu, mahkamah merumuskan bahawa penahanan plaintif di IPD Dang Wangi merupakan penahanan salah yang berpunca secara langsung daripada penangkapan tidak sah.
“Plaintif dengan itu berjaya membuktikan aspek tuntutan mereka,” kata hakim tanpa membuat sebarang perintah mengenai kos.
Hakim menambah kesimpulannya tidak harus difahami sebagai menunjukkan setiap penahanan penyiasatan berikutan sesuatu penangkapan adalah tidak sah, kerana setiap kes bergantung pada fakta masing-masing.
Hakim memutuskan bahawa peserta perhimpunan nyalaan lilin berkenaan dinafikan hak mendapatkan khidmat peguam dengan segera semasa ditahan dan kerajaan bertanggungjawab secara vikariat atas tindakan pihak berkuasa.
Mahkamah turut memerintahkan faedah lima peratus ke atas kadar penghakiman setahun sehingga bayaran penuh dijelaskan oleh defendan.
13 individu berkenaan memfailkan saman itu pada 30 Disember 2021 dengan menamakan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri, polis serta 23 pegawai polis yang terlibat dalam penahanan itu sebagai defendan.
Plaintif terbabit ialah Nur Qyira Izzati Yusri, Nalina Nair, Thulsi Thivani, Loh Kar Mun, Noor Suhana Ishak, Subatra Jayaraj, Thamelinggem Pillai, Ilaiya Barathi, Addy Samsudin, Dinesh Venkitesan, Khairi Zulfadhli Abu Bakar, Asraf Sharafi Azhar dan Wong Yan Ke.
Plaintif mendakwa mereka ditahan secara tidak sah, diserang dan dipukul semasa penangkapan serta hak perlembagaan mereka dilanggar.
Hak perlembagaan
Mahkamah memutuskan bahawa penangkapan tidak sah itu melanggar hak perlembagaan individu terbabit di bawah Perkara 5(1) dan 5(3) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 5(1) menyatakan tiada seorang pun boleh ditiadakan nyawa atau kebebasan dirinya melainkan mengikut undang-undang, manakala Perkara 5(3) melindungi hak individu untuk mendapatkan wakil peguam semasa dalam tahanan.
Sementara itu, Perkara 10(1)(b) menetapkan bahawa warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
“Mahkamah seterusnya mendapati defendan gagal membuktikan bidang kuasa sah bagi penangkapan berkenaan.
“Ini secara tidak langsung menunjukkan perampasan kebebasan plaintif seterusnya tidak dibuat 'mengikut undang-undang' mengikut maksud Perkara 5(1).
“Mahkamah menerima bahawa pegawai polis berhak mengatur akses ke premis polis atas sebab keselamatan dan pentadbiran yang sah.
“Bagaimanapun, urusan pentadbiran mesti memudah cara, bukannya membataskan pelaksanaan hak perlembagaan.”
Mahkamah menolak tuntutan plaintif di bawah Perkara 10(1)(b) mengenai hak berhimpun secara aman serta tort salah guna kuasa dalam jawatan awam.
Mahkamah turut menolak tuntutan plaintif berhubung penggunaan daya berlebihan, serangan dan pukulan.
“Tiada bukti yang menunjukkan plaintif ditumbuk, ditendang atau diserang dalam bentuk yang kerap ditemui dalam kes melibatkan kekerasan polis.
“Tiada juga sebarang rekod perubatan dikemukakan yang menunjukkan kecederaan selari dengan kekerasan fizikal yang ketara.”
