Parti Wawasan Negara (Wawasan) mempertahankan pendekatan politik PAS yang sering dikritik kerana menggunakan retorik berkaitan kaum dan agama, dengan menyifatkannya sebagai gaya politik parti itu.
Setiausaha Agungnya, Saifuddin Abdullah berkata setiap parti dalam PN mempunyai pendekatan dan gaya kempen masing-masing.
Namun, beliau menegaskan terdapat batas yang perlu dipatuhi supaya kenyataan yang dibuat tidak menjurus kepada ucapan kebencian atau menyinggung mana-mana pihak.
“Seboleh-bolehnya kita nak elak kenyataan yang boleh melukakan hati dan yang boleh menyinggung perasaan (orang ramai) dan itu saya kata masing-masing ada gaya masing-masing.
“Ada masanya waktu pilihan raya dia punya suhu lebih panas (tetapi) selepas itu dia ok balik. Jadi, pada saya asalkan jangan sampai tahap ucapan kebencian, saya tak kata yang itu semuanya betul, tapi jangan sampai dia menjadi ucapan kebencian,” kata Saifuddin dalam episod terbaru podcast KiniTV, yang disiarkan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata agak sukar untuk menentukan kategori "ucapan kebencian", memandangkan sesuatu istilah mungkin digunakan tanpa niat untuk menghina, tetapi tetap boleh menyebabkan pihak lain tersinggung.
“Kalau awak panggil seseorang itu sebagai A, saya mungkin tak suka kerana gaya saya tak boleh panggil dia A, tapi saya tak boleh terus kata awak sebarkan ucapan kebencian kerana bukan mudah untuk ditakrifkan. Namun, bagi orang yang mendengarnya dia (mungkin) akan rasa dia tersinggung dan sebagainya.
“Jadi, kita perlu tangani isu ini dan seboleh-bolehnya elakkan mengeluarkan kenyataan yang boleh melukan hati orang atau menyinggung perasaan mereka,” katanya.
Konteks sejarah
Ketika diminta mengulas sama ada Saifuddin bersetuju dengan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang melabelkan penyokong DAP sebagai "pendatang" sekali gus mencetuskan kecaman meluas daripada pemimpin kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata "konteks sejarah" perkataan tersebut perlu diambil kira.

“Kena tengok dalam konteks sejarah apa istilah yang digunakan,” katanya ringkas.
Saifuddin yang juga bekas menteri luar berkata demikian susulan kenyataan Abdul Hadi yang menggelar penyokong DAP sebagai “pendatang yang diimport masuk oleh penjajah”.
Pemimpin PAS itu mendakwa ajaran Islam perlu difahami dengan betul dalam konteks Malaysia yang majoritinya Melayu-Muslim, yang disifatkannya sebagai penduduk asal negara ini.
Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin dilaporkan turut mempertahankan kenyataan Abdul Hadi itu dengan mendakwa DAP sebagai parti “perkauman sebenar”.
Hamzah yang juga ketua pembangkang berkata, DAP mengeksploitasi sentimen perkauman walaupun menampilkan diri sebagai parti pelbagai kaum.
Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor turut menerima kritikan susulan ucapannya dalam satu ceramah di Jempol, apabila menteri besar Kedah itu didakwa menghina masyarakat Cina dan India.
Saifuddin menegaskan bahawa walaupun parti-parti dalam PN mempunyai pendekatan berbeza, Wawasan berusaha memastikan semua anggota gabungan itu bersetuju mengenai perkara yang lebih utama, termasuk usaha menumbangkan kerajaan PH di Negeri Sembilan.
"Dalam politik, setiap parti mempunyai pendekatan dan cara tersendiri. Kita mungkin berbeza pandangan dari segi kaedah, tetapi kita mesti bersetuju dalam perkara-perkara yang lebih besar. Sebagai contoh, pada ketika ini matlamat bersama ialah menumbangkan kerajaan PH di Negeri Sembilan.
"Selepas itu, cabaran seterusnya ialah bagaimana kita semua bergerak ke tengah. Itulah pendirian dan Wawasan yang jelas. Kita merupakan parti yang mahu berada di pertengahan, bukan di kiri dan bukan di kanan. Memang sukar untuk benar-benar berada tepat di tengah.
"Jika perkara itu dapat dilaksanakan, saya percaya ia mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada semua parti, khususnya parti-parti dalam Perikatan Nasional,” katanya.

Ditanya sama ada pemimpin Wawasan pernah membincangkan perkara itu dengan PAS, Saifuddin berkata: "Kami berbincang banyak perkara dengan PAS, tetapi ada perkara yang tidak semestinya perlu disebut."
"Daripada 43 Ahli Parlimen PAS, berapa ramai yang memakai kopiah di Dewan Rakyat? Hanya seorang atau dua orang. Kenapa mereka tonjolkan (naib presiden PAS dan pengerusi PN) Ahmad Samsuri Mokhtar?
"Saya tak boleh jawab bagi pihak PAS, tetapi ia menunjukkan setiap parti dalam PN cuba berlaku adil kepada parti lain, jadi kami membawa haluan masing-masing," katanya.
Ubah landskap politik
Sebelum ini, Saifuddin memberitahu Malaysiakini bahawa Wawasan mahu tampil berbeza dengan struktur parti yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia, sambil terus berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Saifuddin yang dipecat daripada Bersatu pada Januari lalu berkata Wawasan tidak mahu dilabel sebagai "parti berbilang kaum".
Sebaliknya, parti itu mahu dikenali sebagai "parti Malaysia" yang menerima pelbagai pandangan daripada komuniti yang pelbagai.
Mengenai pilihan raya Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, Saifuddin berkata PN berharap dapat mengubah landskap politik negeri itu, dengan mendakwa sokongan terhadap kerajaan persekutuan kini semakin tidak stabil.

Menurutnya, keadaan sama turut dapat dilihat di Negeri Sembilan, di mana Wawasan meletakkan empat calon menggunakan lambang PN.
Saifuddin berkata kerajaan yang benar-benar stabil perlu mendapat sokongan kuat daripada kelompok majoriti dan minoriti. Namun, katanya, kerajaan hari ini lebih bergantung kepada sokongan kumpulan minoriti, manakala sokongan daripada kumpulan majoriti masih lemah.
"Untuk sesebuah kerajaan menjadi stabil, ia mesti mendapat sokongan majoriti daripada kumpulan majoriti dan sekurang-kurangnya sokongan yang signifikan, jika bukan majoriti, daripada kumpulan minoriti. Tetapi kerajaan hari ini disokong oleh majoriti kumpulan minoriti dan minoriti kumpulan majoriti.
"Apa yang berlaku (akibat ketidakseimbangan itu) memberi kesan kepada psikologi kerajaan. Kadang-kadang di peringkat persekutuan, kementerian yang dipimpin orang Melayu tidak lagi bertindak seperti orang Melayu apabila mempertahankan pesta air dan penternakan babi.
"Saya bukan kata ia salah, tetapi keadaan menjadi begitu kerana psikologi mereka tidak stabil apabila mereka tahu arus bawah sokongan mereka juga tidak stabil," jelasnya.
Barisan kepimpinan
Menyentuh mengenai barisan kepimpinan Wawasan, Saifuddin menolak tanggapan bahawa sebahagian pemimpinnya ialah "katak politik" atau "pengkhianat".
Sebaliknya, dia berkata mereka ialah individu yang berkongsi cita-cita politik dan berjuang berasaskan idealisme yang sama.

Mengulas mengenai bekas ahli Bersatu yang kini menyertai parti Wawasan, Saifuddin berkata mereka boleh dianggap sebagai "veteran yang tidak mahu mengulangi kesilapan parti lama".
"Kalau lihat barisan jawatankuasa pusat Wawasan Negara, kita ada gabungan muka baru dan tokoh lama yang berpengalaman, seperti (bekas pemimpin Umno dan bekas ketua menteri Melaka) Abdul Rahim Thamby Chik.
"Melaka yang ada hari ini ialah hasil kerjanya - Melaka yang dahulunya mundur menjadi maju di bawah kepimpinannya. Apa salahnya kita ada orang yang mempunyai pengalaman seperti itu?" katanya.
Saifuddin berkata parti itu sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan daripada pemimpin muda, malah ada antara mereka telah mengemukakan idea kepadanya mengenai cara memperluaskan pengaruh parti dalam kalangan golongan muda.
Megulas mengenai Hamzah, Saifuddin menegaskan Ahli Parlimen Larut itu "tidak obses untuk menjadi perdana menteri", sekali gus memberi bayangan bahawa pendirian tersebut berbeza dengan pendekatan presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

"Masalah parti lama (Bersatu) ialah pemimpinnya terlalu obses hendak menjadi perdana menteri. Bila terlalu obses hendak jadi perdana menteri, adakah presiden parti lain mahu duduk berbincang dengan awak?
"Sekarang apabila kita ada pemimpin yang tidak memikirkan perkara itu, kita boleh bertemu orang dan orang juga mahu bertemu kita... barulah rundingan boleh dibuat dan titik persamaan dapat dicari," kata Saifuddin.
