Perdana Menteri menyifatkan kesediaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabarnya di Kepala Batas sebagai tanda presiden PAS "tidak yakin" untuk menawan kembali Terengganu.

"Dia (Abdul Hadi) kata dia nak ambil balik Terengganu (tetapi) dia lari nak pergi tempat lain. Apa cakap macam ni," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti dipetik Bernama .

Abdullah mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam untuk bertanding di kerusi parlimen itu "kalau parti minta beliau bertanding."

"Ertinya dia tak boleh menang di Terengganu lah tu. Dia cari kawasan lain," tambahnya selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno.

Abdullah menguasai kerusi Kepala Batas selama tujuh penggal berturut-turut sejak 1978.

Presiden Umno itu menewaskan calon PAS Abdul Khalid Rasid dengan majoriti sebanyak 18,122 undi pada pilihan raya umum 2004.

PAS Pulau Pinang dilaporkan belum menentukan calon untuk kerusi tersebut.

Sementara itu Parti Mahasiswa Negara, yang memohon pendaftaran bulan lepas, bersedia untuk meletakkan calonnya.