Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Setiap kali pilihan raya menjelang, landskap politik Malaysia seolah-olah memasuki satu musim yang berulang. Ia bukan sekadar musim berkempen atau musim menawarkan manifesto tetapi juga musim pembinaan naratif ketakutan.

Dalam sebuah masyarakat yang majmuk seperti Malaysia, ketakutan sering menjadi bahasa politik yang paling mudah menyentuh emosi.

Ia mampu mengukuhkan identiti kelompok, menggerakkan penyokong dan mempengaruhi pilihan politik dengan lebih pantas daripada hujah-hujah dasar yang panjang.

Dalam kalangan sebahagian masyarakat Melayu, naratif bahawa kedudukan Islam, orang Melayu dan institusi-institusi utama negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran sering muncul semula setiap kali pilihan raya.

Perdebatan mengenai identiti, hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, kedudukan bahasa kebangsaan dan masa depan negara menjadi sebahagian daripada wacana politik.

Bagi mereka yang membawa naratif ini, ia merupakan satu bentuk peringatan agar perkara-perkara yang dianggap asas kepada pembinaan negara tidak dipandang ringan.

Pada masa yang sama, sebahagian masyarakat bukan Melayu pula mempunyai kebimbangan yang berbeza. Mereka bimbang terhadap kemungkinan ruang kehidupan mereka menjadi semakin sempit sekiranya politik negara bergerak ke arah yang mereka tafsir sebagai lebih eksklusif.

Kebimbangan ini bukan semestinya terhadap Islam sebagai agama sebaliknya terhadap tafsiran politik yang mereka kaitkan dengan sesetengah parti, pemimpin atau wacana yang sering mereka ikuti.

Dalam konteks inilah muncul satu istilah yang semakin kerap disebut dalam perbualan tidak rasmi, iaitu “PAS-fobia”.

Pertandingan membentuk persepsi

Menariknya, kedua-dua bentuk ketakutan ini tidak berkembang secara berasingan. Ia saling mempengaruhi melalui pengalaman hidup, ucapan politik, media massa, media sosial dan pelbagai simbol yang berulang kali hadir dalam ruang awam.

Politik akhirnya bukan sahaja menjadi pertandingan idea dan dasar bahkan juga pertandingan membentuk persepsi tentang siapa yang harus dipercayai dan siapa yang harus ditakuti.

Ini ada kaitkan dengan perbualan saya baru-baru ini. Semasa melakukan aktiviti riadah pada suatu pagi, saya berbual dengan beberapa jiran yang kebanyakannya berbangsa Cina. Perbualan kami beralih kepada perkembangan politik semasa.

Salah seorang daripada mereka menyebut satu perkataan yang menarik perhatian saya iaitu "takut". Apabila saya bertanya apakah yang dimaksudkan dengan ketakutan itu, mereka menjelaskan bahawa kebimbangan mereka bukan terhadap Islam sebagai agama.

Sebaliknya, mereka bercakap tentang bagaimana mereka mentafsir mesej, simbol dan retorik politik yang mereka lihat dan dengar selama bertahun-tahun. Mereka menggunakan istilah "PAS-fobia" untuk menggambarkan persepsi tersebut.

Perbualan itu membuka satu persoalan yang lebih besar. Dalam politik, adakah masyarakat benar-benar bertindak balas terhadap realiti atau mereka bertindak balas terhadap makna yang dibina di sekeliling realiti itu?

Persoalan inilah yang menjadi titik tolak untuk memahami bagaimana sesuatu "bayang-bayang politik" terbentuk dalam imaginasi masyarakat dan mengapa ia terus hidup dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya yang lain.

Perbualan pagi itu membuatkan saya merenung satu persoalan yang lebih besar. Adakah ketakutan itu benar-benar lahir daripada pengalaman langsung atau ia terbentuk melalui proses pembinaan makna yang berulang-ulang?

Dalam politik, persepsi jarang terbentuk dalam satu malam. Ia lahir daripada himpunan ucapan, simbol, imej, berita, video pendek, perbualan harian dan pengalaman yang kemudiannya bergabung menjadi satu gambaran yang sukar dipisahkan daripada realiti.

Di sinilah pendekatan semiotik menjadi penting. Dalam kehidupan politik moden, masyarakat tidak hanya bertindak balas terhadap sesuatu peristiwa, tetapi lebih jauh lagi juga terhadap makna yang dilekatkan pada peristiwa tersebut.

Simbol, bahasa dan imej akhirnya menjadi lebih berpengaruh kerana semuanya membawa tafsiran yang berbeza kepada kelompok masyarakat yang berbeza. Apa yang dilihat sebagai lambang perjuangan oleh satu kelompok, boleh ditafsirkan sebagai lambang ancaman oleh kelompok yang lain.

Mesej sama berulang kali

Sarjana Indonesia, Yasraf Amir Piliang, menghuraikan bagaimana imaginasi sosial dibentuk melalui proses penandaan yang berulang. Realiti tidak hadir kepada masyarakat dalam bentuk yang neutral. Ia sentiasa ditafsir, dibingkai dan diberi makna.

Apabila sesuatu imej atau naratif diulang berkali-kali, ia akhirnya membentuk apa yang boleh disebut sebagai “bayang-bayang sosial” iaitu gambaran mental yang mempengaruhi cara seseorang melihat sesuatu kelompok atau institusi sebelum mereka sempat menilai realitinya secara menyeluruh.

Dalam konteks inilah istilah PAS-fobia menjadi menarik untuk dianalisis. Ia bukan sekadar menggambarkan rasa takut terhadap sebuah parti politik, lebih jauh lagi ia memperlihatkan bagaimana sesuatu persepsi terbentuk dalam imaginasi sebahagian masyarakat.

Persepsi itu mungkin dipengaruhi oleh pengalaman peribadi, mungkin juga oleh liputan media, media sosial, ucapan politik atau perbincangan dalam komuniti mereka. Apa pun sumbernya, persepsi tersebut akhirnya menjadi sebahagian daripada cara mereka mentafsir simbol dan mesej politik yang diterima.

Oleh sebab itu, persoalan yang wajar diajukan bukanlah sama ada PAS-fobia itu benar atau salah secara mutlak. Persoalan yang lebih mendasar ialah bagaimana persepsi itu dibentuk, mengapa ia terus hidup dalam ruang awam dan apakah faktor-faktor yang menjadikannya semakin kukuh dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya yang lain.

Memahami proses pembentukan makna ini lebih penting daripada sekadar menolak atau menerima sesuatu persepsi kerana di situlah terletaknya akar kepada politik ketakutan yang semakin mempengaruhi demokrasi moden.

Perbualan saya dengan jiran-jiran itu tidak bertujuan mewakili keseluruhan masyarakat bukan Melayu di Malaysia. Namun ia memberikan satu jendela kecil untuk memahami bagaimana sebahagian daripada mereka membentuk persepsi politik.

Apabila saya bertanya mengapa mereka menggunakan istilah "PAS-fobia", jawapan yang diberikan bukanlah mengenai Islam sebagai agama. Mereka membezakan antara ajaran Islam yang mereka hormati dengan tafsiran mereka terhadap retorik dan tindakan politik yang mereka lihat sepanjang bertahun-tahun.

Bagi mereka, beberapa isu yang sering muncul dalam wacana politik seperti perbahasan mengenai pelaksanaan hudud, seruan memboikot produk tertentu, kenyataan-kenyataan yang menonjolkan ancaman terhadap Islam dan Melayu atau polemik yang melibatkan hubungan antara parti-parti politik ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa ruang kehidupan mereka mungkin menjadi semakin sempit.

Sama ada tafsiran itu tepat atau tidak bukanlah persoalan utama di sini. Apa yang lebih penting ialah memahami bahawa persepsi tersebut benar-benar wujud dalam sebahagian masyarakat dan mempengaruhi cara mereka melihat politik.

Dalam komunikasi politik, persepsi seperti ini mempunyai kesan yang besar. Seseorang tidak semestinya bertindak berdasarkan fakta yang lengkap; mereka sering bertindak berdasarkan cara mereka mentafsir sesuatu mesej.

Apabila mesej yang sama diterima berulang kali melalui pelbagai saluran iaitu ucapan politik, media, media sosial atau perbualan harian—ia akhirnya membentuk satu gambaran yang sukar dipisahkan daripada realiti dalam fikiran penerimanya.

Cabaran terbesar politik Malaysia

Di sinilah PAS-fobia boleh dilihat sebagai satu kajian kes tentang bagaimana naratif politik membentuk imaginasi sosial. Ia bukan sekadar persoalan sama ada sesebuah parti benar-benar mewakili ancaman atau tidak.

Sebaliknya, ia menunjukkan bagaimana pengalaman, simbol dan komunikasi politik boleh menghasilkan satu persepsi yang cukup kuat sehingga mempengaruhi cara sebahagian masyarakat memahami masa depan mereka sendiri.

Oleh itu, perbincangan tentang PAS-fobia tidak seharusnya berakhir dengan persoalan siapa yang betul atau siapa yang salah. Sebaliknya, ia perlu membawa kita kepada persoalan yang lebih mendalam: bagaimanakah sesuatu persepsi itu terbentuk, siapakah yang mengukuhkannya, dan apakah kesannya terhadap hubungan antara kaum serta kualiti demokrasi di Malaysia?

Akhirnya, persoalan sebenar bukanlah sama ada PAS-fobia itu wujud atau tidak. Sebaliknya, persoalan yang lebih penting ialah bagaimana ketakutan politik dibina sehingga menjadi sebahagian daripada imaginasi kolektif masyarakat.

Ketakutan tidak lahir dalam ruang kosong. Ia terbentuk melalui pengalaman, simbol, ucapan politik, liputan media, media sosial dan perbualan harian yang diulang-ulang sehingga akhirnya membentuk cara masyarakat mentafsir realiti.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, politik yang terlalu bergantung kepada naratif ancaman akan sentiasa melahirkan bayang-bayang baharu. Hari ini mungkin wujud ketakutan terhadap satu parti, esok mungkin muncul ketakutan terhadap parti yang lain.

Selagi politik menjadikan rasa takut sebagai modal untuk menggerakkan sokongan, selagi itulah masyarakat akan terus melihat antara satu sama lain melalui lensa syak wasangka, bukannya melalui ruang dialog dan saling memahami.

Demokrasi yang matang tidak menuntut rakyat bersetuju dalam semua perkara. Sebaliknya, ia menuntut keberanian untuk berbeza pandangan tanpa menjadikan perbezaan itu sebagai ancaman kewujudan.

Politik yang sihat juga tidak seharusnya bergantung kepada pembinaan "musuh" yang berterusan tetapi kepada keupayaan menawarkan penyelesaian, membina keyakinan dan memupuk kepercayaan antara rakyat yang berbeza latar belakang.

Barangkali inilah cabaran terbesar politik Malaysia pada hari ini.

Cabarannya bukan sekadar menghapuskan PAS-fobia, Islamofobia, Melayu-fobia atau apa-apa bentuk ketakutan politik yang lain. Cabaran yang lebih besar ialah mengubah budaya politik daripada politik ketakutan kepada politik kepercayaan di mana politik yang tidak menafikan perbezaan justeru mengurus perbezaan dengan hikmah; politik yang tidak membina sokongan melalui bayang-bayang tetapi melalui keyakinan terhadap masa depan bersama.

Bayang-bayang tidak pernah muncul dengan sendirinya. Ia wujud apabila cahaya dihalang oleh sesuatu. Begitu juga dalam politik. Apabila naratif ketakutan menguasai ruang awam, cahaya dialog, kepercayaan dan persefahaman menjadi semakin malap.

Tugas kita sebagai masyarakat bukanlah sekadar mencari siapa yang membina bayang-bayang itu, tetapi memastikan cahaya saling memahami kembali menerangi ruang demokrasi Malaysia. Hanya dengan itu politik akan kembali menjadi wahana membina negara, bukannya sekadar mengurus ketakutan.


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa yang mengulas isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS