"Lupakan Anwar Ibrahim. Dia tidak ada apa-apa."

Demikian reaksi spontan presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila mengulas isu sama ada BN melalui jalan sukar berdepan dengan PKR yang kini diterajui oleh bekas timbalan perdana menteri itu.

Dalam dua pilihanraya umum lepas, Anwar dipenjara atas dua kesalahan, rasuah dan liwat.

Abdullah Badawi Abdullah berkata Anwar bukanlah satu faktor utama dalam pilihanraya kali ini, dan menambah beliau "telah melupakan" bekas tokoh nombor dua Umno itu.

Kenyataan itu juga sebagai mengulas tanggapan popular bahawa pilihan raya ke-12 diadakan sebelum April bagi menghalang Anwar bertanding selepas dibebaskan pada 2004.

anwar ibrahim 02 060207 Umum melihat jika Anwar dibenarkan bertanding, peluang PKR dan pembangkang dijangka lebih baik.

"Ia (menetapkan tarikh pilihanraya) tidak ada kena-mengena dengan Anwar. Kita selalu berdepan dengan pembangkang (dan) mereka tidak menimbulkan masalah," kata Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Anwar membantah penetapan tarikh pilihanraya umum yang jatuh pada 8 Mac, kira-kira sebulan sebelum beliau layak dicalonkan, dengan mendakwa ia sengaja dirancang bertujuan menafikan peluangnya.

"Tidak kena-mengena dengan hal itu," kata Abdullah.

"Kami telah melupakan tentang Anwar. Saya tidak ingat lagi Anwar," katanya kepada media.

"Bukan saya yang menentukan tarikh pilihan raya tetapi Suruhanjaya Pilihanraya," tambahnya, menafikan tuduhan parti-parti pembangkang.

Anwar, pernah menjadi bintang utama dalam Umno, dipecat oleh perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan dipenjara mulai 1999 atas dua tuduhan itu yang dianggap bermotifkan politik.

Mahkamah kemudian mengetepikan sabitan kes liwat tetapi sabitan kes rasuah menghalangnya terlibat cergas dalam politik sehingga April tahun ini.