Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
Diterbitkan:  Jul 29, 2026 3:23 PM
Dikemaskini: 8:15 AM
1

Kabinet hari ini bersetuju mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung Lembaga Tabung Haji.

Kabinet juga bersetuju agar siasatan oleh pihak berkuasa disambung semula serta-merta dan sesiapa yang melanggar undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata kabinet diberi taklimat berhubung laporan berkenaan oleh pengurusan tertinggi Tabung Haji.

“Jemaah Menteri bersetuju Laporan ini akan dibuat pengelasan semula (declassified) dan didedahkan pada hari ini.

“Laporan ini juga akan dibentangkan dan dibahaskan di satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan awal petang ini, Fahmi yang juga menteri komunikasi menambah, kabinet mengambil maklum laporan RCI itu menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan.

Daripada jumlah itu, katanya, pengurusan tertinggi telah berjaya melaksanakan 75 peratus syor yang dikemukakan.

Kabinet juga, katanya, mengambil maklum Tabung Haji mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus menunjukkan pengurusan semasa berada dalam keadaan lebih baik.

“Jemaah Menteri memutuskan siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan berdasarkan laporan ini akan diteruskan serta-merta, dan pihak-pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.

Tiada pihak yang kebal

Sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berkenaan kepada umum apabila dibawa untuk pertimbangan mereka.

Anwar berkata dia tidak mempunyai sebarang halangan untuk mendedahkan laporan berkenaan, namun keputusan tersebut perlu dibuat mengikut prosedur melalui pertimbangan kabinet.

“Orang cabar mengapa tidak zahirkan kepada awam (RCI), saya tiada keberatan, saya setuju tetapi ikut proses dan biar saya bawa kepada jemaah menteri hari Rabu ini serta saya percaya jemaah menteri akan setuju.

“Dulu kita minta tangguh laporan itu kerana Tabung Hajji menyatakan perlu masa untuk perbaiki… ada pengurusan baru untuk baiki dan sekarang kita bersedia untuk dedahkan kepada awam,” katanya di Permatang Pauh, Bukit Mertajam.

Bagaimanapun PAS mempersoalkan langkah diambil kerajaan yang ingin mengumumkan laporan berkenaan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.

Walaupun menyambut baik kenyataan itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sewajarnya laporan itu sepatutnya dibentangkan lebih awal kepada umum demi kepentingan umat Islam dan ketelusan pentadbiran negara.

Katanya, masa pengumuman tersebut dibuat – menjelang PRN Negeri Sembilan – menimbulkan persoalan, ditambah pula dengan isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery di Indonesia yang sedang hangat diperkatakan.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pula menegaskan tiada pihak yang kebal daripada undang-undang sekiranya nama mereka dikaitkan dalam laporan RCI berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata dapatan daripada siasatan dan kajian RCI itu perlu diketahui secara telus dan jika ada unsur penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pecah amanah atau salah laku lain, tindakan sewajarnya boleh diambil mengikut proses undang-undang.

Setakat laporan ini disiarkan, kerajaan belum menyatakan bila atau di mana laporan RCI tersebut akan didedahkan.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS