Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Culik, cederakan pelajar tingkatan dua, kelindan lori dipenjara 38 bulan
Diterbitkan:  Jul 29, 2026 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Mahkamah Majistret di Kulim hari ini menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan ke atas kelindan lori yang mengaku menculik dan mencederakan seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua, minggu lepas.

Majistret Nur Hamizah Mat Shah memerintahkan M Shyrichs, 39, dipenjara 38 bulan bagi kesalahan menculik dan lima bulan bagi kesalahan mendatangkan kecederaan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, iaitu pada 24 Julai lepas.

Shyrichs didakwa menculik mangsa di hadapan sebuah sekolah di Padang Serai di Kulim pada 6.30 petang 23 Julai lepas mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Dia juga didakwa mencederakan mangsa di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ain Fadilla Mohamad Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan V Nyanasegaran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS