Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memberi laluan kepada Pengerusi Penaja Parti Sosialis Rakyat (PSM), Dr Nasir Hashim dan Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan untuk masing-masing bertanding di Kota Damansara dan Semenyih di bawah lambang PKR.

Dr Nasir mengumumkan perkara tersebut semalam kepada penyokong PSM di Subang dan menambah persetujuan itu dicapai selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali.

Bagaimanapun, PSM masih berunding dengan DAP untuk memberi laluan kepada calon parti tersebut bertanding di Parlimen Sungai Siput dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Jalong - kedua-duanya di Perak.

Menurut Pengarah Pilihanraya PSM, K Segar, PKR telah bersetuju supaya PSM diberi laluan bertanding di Sungai siput dan tidak akan meletakkan calonnya di kedua-dua kerusi tersebut.

Bagaimanapun, katanya, DAP tidak bersedia untuk melepaskan kedua-kedua kerusi tersebut.

"Keadaannya sama seperti pilihanraya tahun 2004 yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru. PSM yang menggunakan logo PKR menduduki tempat kedua di Sungai Siput dan Jalong. Di Sungai Siput, calon DAP hilang deposit," katanya.

PSM yang aktif di banyak tempat di Perak serta menerajui dua gabungan di negeri itu - Gabungan Pengguna Air Perak (GPAP) dan Gabungan Solidariti Rakyat (GASRA) - merasakan parti itu perlu diberi laluan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.

Manakala Dr Nasir berkata, PSM akan meneruskan dialog dengan pemimpin DAP untuk menyelesai masalah tersebut.

Menurutnya, Jawatankuasa Pusat PSM juga akan bermesyuarat hari ini untuk memutuskan keadaan peruntukan kerusi di Perak.