Tiga Menteri Besar secara terbuka menyuarakan hasrat mereka untuk terus dikekalkan memegang jawatan masing-masing selepas pilihanraya umum akan datang.

Sehubungan itu, beliau berharap akan dicalonkan semula bertanding di kawasan lama mereka dalam pilihanraya kali ini.

Mereka ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khir dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

mohamad hasan Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno di ibunegara semalam, Mohamad Hasan berkata namanya telah disenaraikan untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bernama memetik beliau sebagai berkata, terpulanglah kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan muktamad.

"Sama ada bertanding di kerusi DUN atau Parlimen, saya hanya menurut perintah," katanya.

Mohamad bertanding di kawasan DUN Rantau dalam pilihanraya umum 2004.

Calon wanita

Ditanya mengenai calon pengganti satu kerusi parlimen dan tiga kerusi DUN yang wakil rakyatnya sanggup mengundurkan diri, Mohamad berkata: "Ia kerusi MCA, jadi ia akan terus jadi kerusi MCA".

shahidan kassim 02 Di Perlis, Shahidan juga berharap agar dapat bertanding semula di tempat lamanya di kawasan DUN Tambun Tulang.

Menurutnya, senarai calon akan diserahkan minggu depan yang dijangka menampilkan 50 peratus muka baru di kawasan DUN manakala jumlah calon Wanita juga bertambah.

"Terdapat anjakan calon dari segi latar belakang pendidikan. Kebanyakan mereka berkelulusan sederhana (diploma) dan tinggi (ijazah)," katanya.

Baru-baru ini politik Umno Perlis menjadi panas apabila Setiausaha Agung Umno, yang juga Ahli Parlimen Kangar, Datuk Radzi Sheikh Ahmad secara terbuka menyarankan agar menteri besar tersebut ditukar.

mahadzir khalid Di Kedah, Mahadzir pula berkata masih banyak agenda pembangunan yang perlu dibuatnya di Kedah menyebabkan dia belum bersedia berpindah ke pusat.

"Oleh kerana saya masih baru iaitu sepenggal, saya telah dicalonkan bertanding di kawasan saya (DUN Pedu)," katanya yang menjangkakan lebih banyak muka baru di negeri itu akan dicalonkan pada pilihanraya kali ini.