Anggota suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam, Datuk Mahadev Shanker hari ini enggan menarik diri, dan mendakwa permohonan untuk membatalkan keanggotaannya adalah satu percubaan untuk mengganggu siasatan tersebut.

Katanya, beliau terkejut dengan tuduhan yang dibuat terhadapnya yang terkandung dalam permohonan untuk membatalkan keanggotaannya itu.

"Saya terperanjat dengan permohonan itu dan saya mempertikaikannya. Saya enggan untuk menarik diri," katanya apabila siasatan suruhanjaya diraja itu disambung semula pagi ini

Rabu lalu, peguam Hazman Ahmad, yang mewakili bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin, salah seorang saksi utama dalam siasatan tersebut, membuat permohonan tersebut, dengan mengaitkan 'hubungan' Mahadev dengan peguam Datuk VK Lingam sebagai alasannya.

Sebab-sebab permohonan tersebut dikemukakan kepada suruhanjaya tersebut - bahawa Lingam pernah mengatur untuk menerbangkan seorang pakar mata dari klinik Mayo di Amerika Syarikat, dari Bangkok untuk merawat mata Mahadev.

Lingam juga dikatakan telah membayar bil penginapan pakar tersebut dan keluarganya ketika berada di Kuala Lumpur.

"Semuanya tidak betul. Semua perbelanjaan perubatan mata saya dibayar oleh kerajaan," kata Mahadev.

“Rekod perubatan akan membuktikannya," tambahnya.

Beliau berkata, permohonan untuk membatalkan keanggotaannya itu adalah "satu percubaan untuk mencemar dan mengganggu siasatan ini".

Suruhanjaya itu berkata, pada akhir Jun tahun lalu, beliau telah pulih secukupnya. Mahadev berkata, beliau hanya perlu menjalani rawatan pesakit luar di hospital.

Untuk membuktikan penglihatannya sudah baik, Mahadev menunjuk dan memanggil nama peguam-peguam yang duduk di barisan pertama, kedua dan ketiga.

Malah Mahadev turut mengenalpasti beberapa individu yang duduk di barisan pertama dan di belakang sekali dalam dewan tersebut. Tindakannya itu membuat para hadirin ketawa.

Permohonan Eusoff untuk membatalkan keanggotaan Mahadev itu disokong oleh afidavit dari Lingam.

Khoo: Hanya satu tanggapan

Permohonan yang sama untuk membatalkan seorang lagi anggota suruhanjaya tersebut, Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, turut ditolak oleh suruhanjaya tersebut pagi ini.

Rabu lalu, Lingam telah membuat permohonan tersebut atas alasan wujud percanggahan kepentingan jika Khoo menganggotai suruhanjaya tersebut dan membuat keputusan berhubung bukti-bukti yang dikemukakan oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah kerana mereka berdua pernah menjadi pesuruhjaya Suhakam.

Bagaimanapun, Khoo mempertikaikan kaitan tersebut, dengan berkata interaksinya dengan Shafee di Suhakam adalah 'terlalu sedikit'.

Khoo juga berkata, alasan-alasannya yang dikemukakan untuk membatalkan keanggotaannya daripada terus mengikuti siasatan tersebut, hanyalah merupakan satu tanggapan.

Katanya, dakwaan bahawa beliau dan Shafee sering bertemu adalah tidak benar dan merupakan satu tanggapan bahawa kerana mereka berdua pernah menjadi pesuruhjaya Suhakam, maka beliau akan menyokong pandangan Shafee.

Siasatan suruhanjaya diraja itu berakhir jam 6.30 petang tadi. Mereka dijadual mengemukakan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 11 Mac depan.