PRN N SEMBILAN | Unjuran Ilham Centre menunjukkan kerjasama BN dan PN sekali lagi membuahkan hasil yang lumayan sehingga membolehkan mereka berpotensi memenangi sehingg 22 kerusi esok.
Di sisi yang lain, PH pula diramal memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi lagi.
Secara keseluruhan DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.
Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, firma itu berkata kerjasama BN-PN mampu membentuk majoriti yang stabil selepas ini.
Kata Ilham Centre, landskap sokongan politik di negeri itu mengalami penyusunan semula yang ketara.
“BN dilihat berjaya memanfaatkan kelebihan struktur organisasi, penguasaan akar umbi serta sentimen Melayu luar bandar untuk mengukuhkan dominasi mereka di kerusi-kerusi majoriti Melayu.
“Kekuatan jentera tradisi dan keupayaan mobilisasi tempatan memberi BN kelebihan konsisten di kawasan yang sebelum ini bersifat kompetitif.
Sebaliknya, PH semakin kehilangan cengkaman di kerusi-kerusi campuran yang sebelum ini menjadi teras kekuatan mereka.
“Kawasan yang mengandungi komposisi etnik seimbang kini menunjukkan kecenderungan lebih terbuka dan tidak lagi berpihak secara automatik kepada PH,” kata firma itu.
Lima kerusi sangat dinamik
Tambah Ilham Centre, perubahan sentimen itu menandakan berakhirnya kebergantungan kepada kerusi campuran sebagai simpanan selamat undi PH kerana pengundi di kawasan terbabit semakin responsif terhadap isu semasa, prestasi penyandang dan polisi kerajaan.
Pada masa yang sama, PH kini semakin bergantung kepada kawasan majoriti Cina yang ditandingi oleh DAP sebagai benteng utama untuk mengekalkan jumlah kerusi.
“Namun, kebergantungan yang tinggi kepada satu segmen pengundi ini menjadikan kedudukan PH lebih terhad dan kurang seimbang dari segi demografi dan geografi sokongan.
“Ia juga menunjukkan penyempitan asas sokongan yang sebelum ini lebih pelbagai merentas etnik dan kawasan,” katanya.
Dalam dapatan yang dikongsikan kepada media awal petang ini, Ilham Centre juga menjangkakan terdapat lima kerusi yang sukar diramal, termasuk yang ditandingi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Menurut firma itu, lima kerusi tersebut ialah Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang.

Loke bertanding sekali lagi di kerusi DUN Chennah selepas merampasnya daripada MCA pada 2013. Ketika itu Loke – yang juga menteri pengangkutan – memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 1,098 undi.
Menurut Ilham Centre, lima kerusi itu memperlihatkan persaingan yang sangat dinamik dari segi demografi, sentimen tempatan serta pertembungan personaliti calon.
“Sekiranya BN berjaya menawan beberapa kerusi ini, BN-PN berupaya melepasi majoriti dua per tiga majoriti di dalam DUN,” katanya.
Sementara itu Ilham Centre turut membentangkan beberapa dapatan menarik hasil kajian lapangan yang dijalankan di Negeri Sembilan antara 18 Julai sehingga semalam.
Menurut Ilham Centre, gerak kempen PH bermasalah dan hilang punca kerana pada asalnya parti itu mahu memberi fokus kepada kejayaan menteri besar sementara, Aminuddin Harun, sebagai modal utama.
Bukan lagi secara automatik
Namun, katanya, selepas kekalahan di Johor, moral jentera PH berada di titik rendah menyebabkan mereka tenggelam punca untuk membuat lonjakan di Negeri Sembilan.
Ilham Centre mendapati naratif yang dibawa terkait Aminuddin – yang dipopularkan sebagai Tok Min – gagal menangkap imaginasi pengundi terbanyak.
Mesej PH pada peringkat awal, katanya, lebih menjawab serangan pihak lawan berbanding memfokuskan naratif sebenar yang perlu dibawa kepada pengundi.
“Fasa kedua kempen PH lebih tertumpu kepada usaha memanfaatkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, di samping menjadikan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai tema utama.
Walaup sedikit berkesan ke atas sentimen pengundi bukan Melayu, Ilham Centre mendapati impaknya tidak cukup besar untuk meneutralkan gelombang politik identiti Melayu-Islam yang digerakkan secara tersusun oleh BN-PN.
“Satu lagi perkembangan yang wajar diberikan perhatian dalam PRN Negeri Sembilan ialah perubahan corak sokongan pengundi Cina terhadap PH.
“Berbeza dengan beberapa pilihan raya terdahulu, sokongan daripada kelompok ini tidak lagi hadir secara automatik dan bersifat menyeluruh.
“Dapatan kajian lapangan menunjukkan sebahagian besar pengundi Cina masih memilih PH, namun keputusan tersebut lebih didorong oleh ketiadaan alternatif politik yang benar-benar diyakini, bukannya kerana tahap keyakinan yang tinggi terhadap prestasi kerajaan,” katanya.
Ilham Centre memberitahu, kajian yang mereka jalankan itu menggabungkan kaedah kuantitatif dan kualitatif, manakala data kajian dikumpul secara triangulasi melibatkan temu bual mendalam (IDI), perbincangan kumpulan berfokus (FGD) dan soal selidik secara tatap muka.
Kajian itu melibatkan 1,002 responden kuantitatif, 6 kumpulan (28 informan) FGD dan 38 informan IDI.
