Rosnah: Bukan cara Puteri minta kerusi
Puteri Umno menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan jumlah kerusi yang diberikan kepada pergerakan itu dalam pilihanraya umum kali ini.
Naib Ketua Puteri Umno Rosnah Shirlin Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan menentukan calon pergerakan itu.
"Bukan cara pergerakan itu untuk meminta kerusi untuk ditandingi kerana selama ini Puteri tidak pernah berbuat demikian.
Puteri Umno menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan jumlah kerusi yang diberikan kepada pergerakan itu dalam pilihanraya umum kali ini.
Naib Ketua Puteri Umno Rosnah Shirlin Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan dalam menentukan calon pergerakan itu.
"Bukan cara pergerakan itu untuk meminta kerusi untuk ditandingi kerana selama ini Puteri tidak pernah berbuat demikian.
"Kita percaya pucuk pimpinan parti akan mengambil kira kerja keras dan kualiti kepimpinan yang dimiliki oleh Puteri," katanya, yang juga ahli Parlimen Papar, kepada Malaysiakini hari ini.
Dalam pilihanraya umum lalu, tiga pemimpin Puteri - Datuk Azalina Othman Said, Suraya Yaacob dan Bibi Sharliza Mohd Khalid - menang masing-masing di Johor, Kedah dan Negeri Sembilan.
Azalina ketika itu merupakan Ketua Puteri Umno, menang tanpa bertanding di Parlimen Senggarang dan dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan.
Manakala Bibi Sharliza dan Suraya masing-masing menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dan Sungai Tiang.
Mengulas perkara yang sama, Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie berkata, beliau tidak meminta sebarang kerusi dari pucuk pimpinan Umno negeri.
Nordiana juga seorang Senator dan anggota Majlis Tertinggi Umno.
Katanya, sehingga ini Umno juga tidak memberi sebarang kerusi kepada pergerakan itu untuk bertanding dalam pilihanraya umum kali ini.
"Saya dimaklumkan kemungkinan besar Umno negeri meletakkan calon wanita bertanding tetapi saya tidak pasti sama ada pergerakan Wanita atau Puteri," katanya ketika dihubungi hari ini.
Nordiana berkata, fokus utama Puteri Umno negeri ialah merampas semula empat kerusi yang dimenangi PAS dalam pilihanraya umum lalu.
Katanya, ia selaras dengan hasrat Barisan Nasional (BN) negeri untuk menyapu bersih semua 32 kerusi DUN dalam pilihanraya umum akan datang.
Empat kerusi DUN yang dimenangi PAS dalam pilihanraya umum lalu ialah Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Rhu Rendang dan Manir.

