Nurul Izzah tidak bertanding, kata Anwar
Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat jolokan 'Puteri Reformasi' tidak bertanding dalam pilihanraya umum kali ini, kata ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Anwar berkata, sehingga petang tadi anak sulungnya itu tidak mengatakan beliau akan bertanding.
“Nurul Izzah hanya kata beliau hanya mahu tolong kempen melalui ceramah membantu calon PKR,” katanya kepada wartawan di Rantau, Negeri Sembilan petang tadi.
Anwar berkata demikian ketika menjawab desas desus bahawa anaknya itu akan bertanding sama ada di Parlimen Lembah Pantai atau Wangsa Maju dalam pilihanraya umum akan datang
Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat jolokan 'Puteri Reformasi' tidak bertanding dalam pilihanraya umum kali ini, kata ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Anwar berkata, sehingga petang tadi anak sulungnya itu tidak mengatakan beliau akan bertanding.
“Nurul Izzah hanya kata beliau hanya mahu tolong kempen melalui ceramah membantu calon PKR,” katanya kepada wartawan di Rantau, Negeri Sembilan petang tadi.
Anwar berkata demikian ketika menjawab desas-desus bahawa anaknya itu akan bertanding sama ada di parlimen Lembah Pantai atau Wangsa Maju dalam pilihanraya umum akan datang.
Katanya, presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail akan mengumumkan senarai calon parti itu.
Menurutnya, senarai calon parti itu dijangka siap sepenuhnya Isnin ini, lima hari sebelum penamaan calon pilihanraya ke-12 pada 24 Februari.
Dijangka tentang Khairy
Sebelumnya, Anwar tiba di tempat ceramah di Bandar Baru Ekar, Negri Sembilan, yang terletak berhadapan dengan bilik gerakan PKR dan DAP, dengan diiringi konvoi motosikal yang membawa bendera PKR pada kira-kira jam 5.30 petang.
Bandar Baru Ekar terletak bawah kawasan parlimen Rembau. Kehadiran Anwar itu untuk menyokong calon PKR, Badrul Hisham Shaharin.
Barisan Nasional (BN) dijangka meletakkan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk bertanding di kawasan parlimen tersebut.
Dalam ceramahnya selama kira-kira 30 minit itu, Anwar tidak membuat sebarang serangan terhadap menantu Perdana Menteri itu, walaupun dalam ucapannya, bekas timbalan perdana menteri itu menggesa kira-kira 500 hadirin supaya mengundi Badrul Hisham pada 8 Mac depan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar berkata sepanjang tujuh tahun menjadi Menteri Kewangan sehingga 1998, beliau tidak pernah sekalipun menaikkan harga minyak iaitu RM1.10 bagi seliter.
“Tetapi sekarang dalam tempoh lapan bulan sahaja, harga minyak naik sebanyak tiga kali,” katanya lagi.
Harga minyak
Anwar juga mengulangi bahawa tindakan menurunkan harga minyak tidak akan menjadikan negara ini muflis.
Sebaliknya, tambah beliau, negara menjadi muflis kerana perbelanjaan koridor ekonomi yang sepatutnya RM1 bilion, telah meningkat menjadi RM2 bilion.
Dalam ucapannya itu, Anwar turut mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Anwar "sudah tiada apa-apa lagi".
Sepatutnya, kata Anwar, Perdana Menteri mengadakan pilihanraya umum selepas bulan April - apabila beliau sudah diizinkan bertanding - untuk melihat sama ada beliau (Anwar) “tiada apa-apa lagi”.
“Perdana Menteri kata saya tiada apa-apa lagi, beliau perlu buat pilihanraya bulan April supaya saya boleh lawan.
“Jika Bard (Badrul Hisham Shaharim) menang di sini (Rembau), lepas bulan April, saya boleh lawan,” katanya sebagai menjawab kenyataan Abdullah bahawa Anwar bukan lagi faktor penentu.
Abdullah juga dilaporkan berkata, beliau tidak ingat lagi kepada Anwar ketika mengambil keputusan membubarkan Parlimen, Selasa lalu.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan selepas mengadakan mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara semalam.
Peluang pembangkang
Dalam ucapannya itu juga, Anwar menyifatkan dirinya sebagai "Sivaji The Boss", hero dalam filem Tamil.
“MGR masuk penjara kerana memperjuangkan hak-hak rakyat. Filem Sivaji The Boss pula sama dengan apa yang berlaku di Malaysia,” katanya lagi.
Mengenai peluang pembangkang dalam pilihanraya kali ini, Anwar berkata, beliau paling bimbang dengan senarai daftar pemilih yang dipertikaikan.
Katanya, senarai pemilih yang dipertikaikan ini merupakan satu jenayah yang paling besar.
“Kita berlawan di padang yang tidak sama rata. Pengadil pun mereka kawal,” katanya lagi.
Anwar juga berkata, tempoh kempen selama 13 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kali ini tidak lama, malah yang paling singkat di dunia.
Beliau berkata, sepatutnya tempoh berkempen selama sebulan bagi membolehkan pembangkang menyampaikan lebih banyak maklumat kepada rakyat.
Bagaimanapun, beliau yakin pembangkang mempunyai peluang yang sangat baik untuk menang besar dalam pilihanraya umum kali ini.
Loh Mui Fah turut hadir
Selain Anwar dan Badrul, turut berucap di ceramah tersebut ialah Pengerusi DAP Negri Sembilan, Anthony Loke; Pengerusi PKR negeri Datuk Kamarul Bahrin Abbas serta Ketua Pemuda PAS negeri, Taufek Abdul Ghani.
Loke, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rasah menasihatkan para pengundi supaya tidak terpengaruh dengan tawaran-tawaran BN dalam pilihanraya kali ini.
“Jika mereka berjanji peruntukan itu dan ini, beritahu mereka supaya jangan buat janji-janji kosong, beri sahaja wang,” katanya disambut tepukan gemuruh para hadirin.
“BN hanyalah sebuah kerajaan sementara sekarang dan ia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memutuskan sebarang peruntukan kerana ia hanya boleh diputuskan oleh kerajaan yang dipilih selepas pilihanraya pada 8 Mac depan.
Turut mencuri perhatian di majlis ceramah tersebut ialah kehadiran ahli perniagaan, Loh Mui Fah, yang menjadi tumpuan ramai berhubung peranannya dalam siasatan klip video Lingam.
Beliau tiba bersama Anwar dan duduk di atas pentas.
Anwar memperkenalkan Loh di permulaan ucapannya. Sambil mengangkat tangan Loh, Anwar menggelarnya sebagai "hero baru”, sambil disambut oleh hadirin dengan laungan “correct, correct, correct”.
Bagaimanapun, ketika ditemui pemberita, Loh tidak menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR.

