Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beri sokongan penuh kepada MB Negeri Sembilan baru - Jalaluddin

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menggesa seluruh kepimpinan parti dan rakyat negeri itu memberikan sokongan penuh kepada Menteri Besar Datuk Ismail Lasim bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

Jalaluddin yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Sabtu lepas berkata semua pihak perlu mengetepikan perbezaan dan kembali bersatu demi memastikan kerajaan negeri dapat ditadbir dengan baik dan berkesan tanpa gangguan.

“Kepimpinan negeri, bahagian dan cawangan wajar menyatukan semula semua jentera kita. Berikan kepercayaan kepada Menteri Besar untuk menentukan hala tuju serta corak pentadbiran beliau.

“Jangan diganggu, sebaliknya beri ruang kepada beliau untuk melaksanakan tanggungjawab. Tiada isu merajuk atau sebagainya kerana matlamat saya untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada PRN telah tercapai,” katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.

Mengenai pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Jalaluddin berkata beliau tidak menawarkan diri untuk dilantik kerana mahu memberikan peluang kepada pemimpin lebih muda yang mampu membawa idea serta pendekatan baharu dalam pentadbiran negeri.

“Saya pernah menjadi wakil rakyat dan Exco kanan. Sudah lama saya berkhidmat di Negeri Sembilan, jadi berilah peluang kepada pemimpin muda yang mempunyai idea segar dan tenaga baharu untuk menganggotai barisan pentadbiran negeri,” katanya.

Jalaluddin berkata selaku pimpinan utama UMNO Negeri Sembilan, pihaknya sudah berusaha mengetengahkan calon yang terbaik, muda serta berkaliber daripada BN pada pilihan raya itu dan wajar mereka diberikan peluang menjadi Exco.

Ismail yang memenangi kerusi DUN Juasseh pada PRN Negeri Sembilan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti semalam.

PRN Negeri Sembilan melibatkan 36 kerusi DUN dan kemenangan BN di 18 kerusi DUN serta Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi, membolehkan kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS