Polis menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan kira-kira 300 penyokong Hindraf yang berhimpun secara aman di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur awal pagi ini.

Ia pada mulanya dirancang untuk diadakan di pintu masuk Parlimen di mana 200 kanak-kanak akan hadir untuk menyerahkan bunga ros kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi supaya menimbangkan 18 tuntutan yang dikemukakan oleh kumpulan tersebut.

hindraf march of roses parliament 160208 orangemen Berita mengenai jalan-jalan menuju ke Parlimen ditutup untuk menghalang kumpulan itu ke Parlimen, mendorongkan mereka menukar tempat perhimpunan ke Jalan Raja Laut.

Menurut Penyeleras Hindraf, S Thanenthiran, kira-kira 200 orang telah ditahan. Turut ditahan oleh penganjur kempen Ros Hindraf, S Manickavasagam dan dan blogger B Mahendran.

Wanita dan kanak-kanak adalah antara mereka yang ditahan. Saksi-saksi juga mendakwa, anggota polis bertindak agresif terhadap seorang wanita dan anaknya ketika mereka hendak menangkapnya.

hindraf march of roses parliament 160208 watercannon "Wanita tersebut menangis kuat kerana anggota polis memaksanya meninggalkan anaknya ketika dia ditangkap,” kata Mahendran yang memaklumkan kemudiannya kepada Malaysiakini melalui telefon bimbitnya, mengenai keadaan wanita tersebut.

Ditahan di sekatan jalanraya

Thanenthiran pula berkata, hampir dua pertiga daripada mereka ditahan sebelumnya di sekatan polis yang diadakan di jalan-jalan menuju ke bandaraya.

Mereka sedang ditahan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

hindraf march of roses parliament 160208 banner Ramai anggota polis dan anggota anti-rusuhan ditempatkan di Jalan Raja Laut. Empat trak meriam air juga kelihatan di sepanjang jalan menuju ke Parliamen.

Difahamkan, anggota polis telah ditempatkan di kawasan-kawasan utama berhubung perhimpunan tersebut sejak malam tadi. Sekatan jalanraya juga diadakan di pelbagai jalan utama menuju ke ibunegara.

“Jumlah anggota polis tiga kali ganda lebih ramai daripada mereka yang berhimpun, Saya nampak mereka menembak gas pemedih mata ke arah orang ramai. Mengapa perlu menembak gas pemedih mata sedangkan anggota polis cukup ramai (untuk menyuraikan mereka),” kata seorang pelancong yang kebetulan berada di situ.

hindraf march of roses parliament 160208 tear gas Selepas menembak gas pemedih mata dan meriam air, kira-kira 40 anggota polis berpakaian biasa kelihatan mengejar orang ramai yang bertempiaran lari ke kawasan Masjid India.

Penyokong Hindraf yang lari itu kemudiannya kelihatan berjalan dalam kumpulan kecil ke arah Kuil Court Malai Pillayar di Jalan Pudu.

Hantar peguam

Sepuluh orang ditahan ketika mahu berlindung di kuil tersebut. Tiga orang lagi ditahan kemudiannya ketika bergerak ke Pusat Tahanan KL di Jalan Hang Tuah untuk memberi sokongan kepada anggota Hindraf yang ditahan di situ sejak malam tadi.

Pada masa itu, orang ramai sudah bersurai dan kumpulan-kumpulan kecil kelihatan bergerak ke Pulapol untuk memberi sokongan kepada mereka yang ditahan di situ.

hindraf march of roses parliament 160208 members arrested in pulapol Menurut A Sivanesan yang merupakan penasihat undang-undang Hindraf, para peguam telah dihantar ke Pulapol untuk memastikan para tahanan mendapatkan khidmat guaman.

Mahendran, yang ditahan berhampiran kawasan Masjid Jamek, sempat menghubungi Malaysiakini melalui telefon bimbitnya dan berkata polis sedang menyoalsiasat para tahanan.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, dalam kenyataan berkata, mengutuk cara pihak polis bertindak mengendalikan perkara tersebut.

hindraf march of roses parliament 160208 arrest Katanya, satu perjuangan yang aman dan tanda kasih sayang serta perjuangan untuk keadilan telah berdepan dengan keganasan pihak berkuasa.

"Saya menggesa semua pencinta keamanan di seluruh dunia supaya mengutuk tindakan ganas terhadap rakyat yang tidak berdosa yang melaksanakan tugas mereka mengikut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 12 Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia,” tambahnya.

Polis telah mengisytiharkan perhimpunan hari ini sebagai haram kerana tidak permit yang dikeluarkan.

Dikemaskini jam 8 malam

Menjelang jam 6 petang tadi, polis membebaskan penyokong Hindraf yang ditahan, termsuk 20 kanak-kanak, kecuali sembilan orang yang masih disoalsiasat.

Mereka, termasuk dua wanita, kesemuanya berusia, antara 35 hingga 40 tahun, ditahan kerana tidak mematuhi arahan polis walaupun berulangkali diarahkan supaya bersurai.

Mereka dipercayai jawatankuasa penganjur perhimpunan hari ini, termasuk Manickavasagam.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman, sejumlah 124 individu, termasuk seorang ibu dan anaknya, ditahan polis.

Beliau juga berkata, sembilan orang akan ditahan reman hari ini. Seorang daripada mereka merupakan individu yang dikehendaki polis berhubung satu kes jenayah di Sentul.

Ketika dihubungi, Mahendran berkata, mereka yang ditahan di Pulapol telah dibawa untuk disoalsiasat dan dia adalah kumpulan terakhir.

“Saya ditahan pada jam 10.30 pagi dan ditahan di Pulapol sehingga jam 6 petang. Saya dibebaskan tanpa dikenakan sebarang dakwaan," katanya.