Seorang pemimpin PAS berhujah bahawa rakyat Malaysia perlu diberi peluang untuk menentukan hala tuju negara menerusi mandat baru sekiranya DAP menarik diri daripada Kabinet.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar judul) berkata langkah sedemikian bukan sekadar melibatkan rombakan pentadbiran, sebaliknya menjadi petanda bahawa kerajaan perpaduan sudah kehilangan kesepaduan.
“Sekiranya DAP mengambil keputusan untuk keluar daripada Kabinet Kerajaan Madani, maka ia bukan lagi sekadar isu rombakan pentadbiran.
“Ia adalah bukti bahawa kerajaan yang dibina atas nama ‘perpaduan’ sudah mula kehilangan kesepaduan dan kepercayaan dalam kalangan rakan sekutunya sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.

"Bagaimanakah sebuah kerajaan boleh mendakwa dirinya stabil apabila parti kedua terbesar dalam gabungan enggan lagi memikul tanggungjawab dalam pentadbiran negara?
"Jika sebuah parti sudah tidak sanggup berada dalam kabinet, apakah itu bukan petanda bahawa keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan semakin terhakis,” soalnya.
Bagaimanapun, Khairul mengakui bahawa dari sudut Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tidak semestinya tumbang sekiranya ahli-ahli parlimen DAP terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Walaupun begitu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor itu mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh terus mendakwa dirinya stabil apabila salah sebuah parti gabungannya tidak lagi sanggup memikul tanggungjawab mentadbir negara.

Dia berkata tindakan sesebuah parti menarik diri daripada kabinet akan mencerminkan kemerosotan keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan.
Khairul menegaskan rakyat tidak mahu sebuah kerajaan terus berkuasa semata-mata kerana masih mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi di parlimen.
Sebaliknya, katanya negara memerlukan sebuah kerajaan yang dibina atas kesepaduan, hala tuju yang jelas serta keyakinan penuh daripada semua rakan gabungan.
Kenyataan Khairul ini selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata para perwakilan parti akan menentukan pada kongres kebangsaan DAP, 16 Ogos ini, sama ada parti itu perlu kekal atau tidak dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal parlimen semasa.

Loke berkata para perwakilan akan mengundi satu usul berhubung penyertaan berterusan parti itu dalam kerajaan, termasuk sama ada wakil-wakilnya perlu terus berkhidmat dalam Kabinet.
Khairul turut merujuk krisis politik di Melaka yang, menurutnya, menunjukkan bahawa sesebuah kerajaan secara teknikal boleh terus berkuasa walaupun berdepan kehilangan keyakinan yang serius.
Dia berkata sekiranya keadaan sama berlaku di peringkat Persekutuan, perdana menteri perlu mendapatkan mandat baharu daripada para pengundi.
“Jalan yang paling bermaruah dan demokratik ialah memohon pembubaran parlimen serta mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Biarlah rakyat menentukan sama ada mereka masih mahu meneruskan kerajaan yang berpecah dari dalam.
“Atau memilih sebuah kerajaan baharu yang lebih stabil, lebih meyakinkan dan benar-benar mampu mentadbir negara,” katanya.
Khairul berkata demokrasi bukan sekadar soal mempertahankan kuasa, tetapi juga tentang memelihara kepercayaan dan keyakinan rakyat.
“Apabila keyakinan itu mula hilang, maka sewajarnya mandat itu dikembalikan kepada pemilik sebenar kuasa, iaitu rakyat,” tambahnya.
Di Melaka, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP meletakkan jawatan daripada semua jawatan kerajaan dan menarik diri daripada pentadbiran negeri sebagai tanda bantahan terhadap cadangan rang undang-undang pindaan Perlembagaan yang membolehkan pelantikan Adun bukan pilihan raya.
