Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat milik sebuah badan berkanun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Sumber memaklumkan kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 68 dan 60 tahun ditahan pada 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
"Bagaimanapun, kedua-dua mereka telah dibebaskan pada malam semalam atas faktor kesihatan dan akan hadir semula ke Ibu Pejabat SPRM pada 10 pagi ini bagi menyambung rakaman percakapan," katanya.
Menurut sumber, penahanan itu susulan siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lepas.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Semalam, SPRM menahan seorang bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah kerana disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih dan seorang pengarah syarikat reka bentuk kerana disyaki memberi rasuah, susulan siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil laporan yang sama.
- Bernama
