Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail mendakwa pusat khidmatnya tidak lagi dibenarkan mengakses sistem MyKhas yang digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Menurutnya, perkembangan itu menjejaskan pengurusan dan penyaluran peruntukan bagi menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan di samping melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan keraian serta kerja-kerja infra di bawah kerangka Projek Mesra Rakyat (PMR) yang selama ini memberi manfaat besar buat warga Parlimen Ampang.

“Anehnya, sehingga saat ini, saya kekal anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Shah Alam yang sah.
“Saya tidak pernah mengisytiharkan keluar parti atau menyokong, jauh sekali menyertai mana-mana parti lain, tidak pernah meletakkan jawatan sebagai anggota PKR, tidak pernah menyertai mana-mana parti politik lain serta tidak pernah menentang apa jua undang-undang dan dasar kerajaan Perpaduan yang dibahaskan di Parlimen, selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam PRU ke-15
“Sesungguhnya, saya galau memikirkan apakah rasional atau alasan sebenar Parlimen Ampang dibekukan peruntukan kawasan secara tiba-tiba tanpa sebarang penjelasan. Sekiranya kejanggalan ini berpunca daripada isu teknikal atau pentadbiran, maka saya berhak diberi pencerahan yang telus dan terbuka di samping ditawarkan penyelesaian dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini dua ahli parlimen yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, turut dilaporkan disekat akses sistem berkenaan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Susulan itu jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menegaskan bahawa sekatan akses terhadap portal MyKhas Ahli Parlimen Petaling Jaya dan Subang tidak menjejaskan hak mereka sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, peruntukan disalurkan menerusi laman sesawang MyKhas adalah peruntukan khas perdana menteri dan tidak melibatkan sebarang kemudahan atau hak lain yang diberikan kepada wakil rakyat melalui Parlimen.
Fahmi yang juga menteri komunikasi turut berkata penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu masih boleh mengemukakan permohonan bantuan melalui saluran disediakan.
Sementara itu Rodziah berkata, sekiranya keputusan JPM-ICU itu disabitkan dengan kehadirannya dalam satu program pada 17 Mei lalu di Petaling Jaya, perkara itu sudah dijelaskan secara rasmi kepada Lembaga Disiplin PKR bertarikh 23 Jun lalu.
Namun katanya, penjelasan sebagai respons terhadap notis bertarikh 16 Jun itu belum mendapat sebarang jawapan sehingga hari ini.
“Lebih aneh lagi, enam ahli parlimen pembangkang daripada Bersatu terus menerima peruntukan kawasan selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan Perpaduan, manakala beberapa Ahli-ahli Parlimen kerajaan malah anggota kabinet sendiri daripada BN bebas dan lantang membuat teguran malah serangan secara terbuka terhadap kerajaan perpaduan tanpa sebarang impak terhadap peruntukan kawasan, memberi persepsi seolah-olah menikmati kekebalan dan keistimewaan politik.

“Meskipun bukan niat saya mempertikaikan hak dan kelebihan mana-mana ahli parlimen dalam aspek peruntukan kawasan, fenomena ini jelas bertentangan dengan salah satu janji dalam manifesto PH PRU15 pada muka surat 42 terkait penyaluran peruntukan pembangunan kawasan secara adil kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik, melalui institusi parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri.
“Janji tersebut bukan sekadar komitmen pilihan raya, malah mencerminkan semangat reformasi institusi yang diperjuangkan PH sekian lama,” katanya lagi.
